REMBAU - Sebuah keluarga di Kampung Tanjung, Gadong dekat sini menerima bantuan kewangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan susulan kejadian kebakaran yang memusnahkan rumah pusaka berusia lebih 80 tahun malam tadi.
Bantuan diserahkan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Datuk Ton Zalani Mat Darus kepada keluarga Abd Rahaman Che Teh, 73, yang diwakili anaknya, Muhammmad Al-Hafis, 35.
Shamsul Iskandar berkata, Perdana Menteri bersimpati dengan ujian yang menimpa keluarga Abd Rahaman apabila rumah pusaka yang didiami terbakar ketika warga emas itu bersama-sama 12 orang terdiri daripada anak, menantu serta cucu berada dalam suasana Aidilfitri.
"Saya hadir mewakili Perdana Menteri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan turut bersama saya Datuk Ton Zalani (Setiausaha Politik Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Rembau) serta ahli majlis pimpinan pusat PKR.
"Hari ini saya dan Datuk Ton Zalani menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan mewakili Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan untuk meringankan keluarga ini," katanya kepada pemberita.
Shamsul Iskandar berkata, beliau turut meminta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk membantu keluarga tersebut serta menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terutamanya dalam situasi cuaca panas ketika ini.
Sementara itu, Abd Rahaman yang juga bekas imam berkata, kebakaran berlaku begitu pantas ketika dia sedang berbuka puasa kira-kira 7.35 malam.
"Saya baru makan tiga biji kurma dan dua suap nasi. Anak saya, Muhammad Anwar beritahu ada bau asap di belakang rumah dan apabila kami ke belakang rumah, kami dapati api sudah marak.
"Kami anak-beranak termasuk cucu keluar dari rumah serta mengarahkan anak-anak mengalihkan kereta," katanya yang mengucapkan terima kasih atas pemberian bantuan itu.
Media melaporkan sebuah keluarga berdepan detik cemas selepas rumah mereka terbakar dan musnah sekelip mata dalam kejadian di Kampung Tanjung, Gadong di sini malam tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Penolong Bomba Kanan I (TBK) Mokhtar Ahmad dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.28 malam dan sebaik tiba di lokasi, api sedang marak.
Beliau berkata anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran yang dipercayai berpunca dari bilik stor dan dianggarkan kediaman itu musnah 90 peratus. - Bernama