Sanusi dakwa wujud ‘little napoleon’ dalam Kerajaan Madani

Iklan
Muhammad Sanusi (kiri) bersalaman dengan tetamu yang turut dihadiri pelbagai agama dan bangsa. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa terdapat pegawai di Pejabat Perdana Menteri yang bertindak sebagai ‘little napoleon’ dalam urusan Kerajaan Madani.

Beliau berkata, golongan berkenaan memainkan peranan dengan merancang untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan pemimpin yang menjadi sasaran, termasuk dirinya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kewujudan golongan itu jelas dilihat dalam pentadbiran Perdana Menteri dan ia tidak wajar dibiarkan walaupun tujuannya adalah untuk menaikkan imej Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua kerajaan.

"Saya ingin nasihatkan rakan-rakan saya di pejabat Perdana Menteri jangan jadi ‘little napoleon’. Jangan diberikan tempat kepada mereka dalam pemerintahan dan pentadbiran.

Iklan

"Saya faham kesibukan seorang pemimpin terutama Perdana Menteri, menyebabkan perkara kecil diuruskan oleh pegawai, dan pegawai inilah yang diberi jolokan ‘little napoleon’,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon pada Khamis.

Muhammad Sanusi berharap Perdana Menteri mendengar pandangannya untuk masa depan yang lebih baik.

Iklan

"Saya harap Anwar dengarlah suara saya. Kalau tak sesuai tukarlah pegawai lain. Saya nampak dalam pentadbiran Anwar adanya ‘little napoleon’ dan saya minta maaflah kalau tak betul, tetapi ini apa yang saya nampak,” jelasnya.

Menurutnya, hubungan beliau dengan Anwar sebenarnya tidak berdepan masalah namun dikeruhkan dengan kehadiran ‘little napoleon’.

"Mereka yang rancang dan menimbulkan perpecahan, niat bagus mungkin untuk naikkan imej Anwar tetapi sebenarnya boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini.

"Seperti yang berlaku kepada saya sebelum ini, dihalang hadir LIMA 2023 di Langkawi, cubaan tukar wakil Kedah dalam Majlis Mesyuarat Kewangan Negara, serta tiada jemputan program rasmi, itu semua kerja ‘little napoleon’,” jelasnya lagi.

Muhammad Sanusi berkata, kes mahkamah melibatkan beliau dan Anwar tidak seharusnya dijadikan penghalang kerana ia dalam situasi berbeza.

"Itu kes politik masa kempen PRU15, itu perkara lain. Apabila Anwar sudah jadi Perdana Menteri dan saya pula Menteri Besar, pentadbiran harus berurusan secara kerajaan dengan kerajaan, bukan lagi politik,” ujarnya.

Muhammad Sanusi percaya apa yang disampaikan ini akan difahami Anwar selaku ketua kerajaan dan beliau ikhlas menyuarakan pandangan untuk kebaikan bersama,

"Tak perlu ada individu atau sekelompok yang berperanan cipta musuh atau cipta siapa boleh dibuat kawan, umpama 'divide and rule',” ujarnya.