Perluas IMFree, tangani amalan hisap vape di kalangan murid

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan memperluaskan program IMFree tahun ini dan seterusnya bagi menangani amalan menghisap rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid sekolah rendah.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, program IMFree dilaksanakan kepada murid sekolah rendah Tahun Satu hingga Tahun Enam di 636 sekolah rintis untuk memastikan mereka yang lahir pada 2009 dan ke atas kekal tidak merokok sepanjang hayat.

Iklan
Iklan

"Program IMFree antaranya bertujuan memberi pengetahuan tentang bahaya merokok dan melatih murid menjadi ejen, pencetus atau penyampai maklumat perubahan kepada rakan serta keluarga terhadap bahaya merokok.

"KPM juga telah melaksanakan Program Lima Minit Antirokok/Vape dalam perhimpunan, kelas ganti, bimbingan kelompok, kempen antimerokok atau vape, ceramah, pameran serta melalui aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Program bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu bertujuan menerapkan nilai kesedaran, membentuk jati diri dan memastikan murid mempunyai daya tahan yang tinggi.

Jelas kenyataan itu lagi, KPM mengambil maklum dan prihatin terhadap beberapa laporan media mengenai penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah.

Iklan

"KPM sentiasa memberi peringatan kepada JPN, PPD dan sekolah berkaitan ‘Surat Siaran KPM Bil 17/2015: Larangan Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape di Sekolah’.

"Selain itu, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2001: Pemantapan Pengurusan Disiplin di Sekolah, pengetua dan guru besar disarankan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk memantapkan pengurusan disiplin dan kaunseling di sekolah,” tegas kenyataan itu.

KPM sentiasa komited dalam melaksanakan program pendidikan pencegahan berkaitan isu disiplin sebagai usaha berterusan memberi kesedaran, kemahiran, pengetahuan serta bimbingan kepada murid.