PN sambut baik Shahidan calon PRN

Iklan
Muhammad Sanusi dan Shahidan Kassim

ALOR SETAR - Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyambut baik ura-ura yang mengatakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim diintai sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, biarpun perkara itu belum dapat dipastikan kesahihannya namun ia merupakan satu perkara yang positif.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketokohan yang ada pada Shahidan terutamanya pengalaman sebagai Menteri Wilayah Persekutuan mampu menjadi nilai tambah yang boleh menjadi tawaran baharu kepada pengundi.

"Saya dengar Shahidan berminat nak bertanding di Selangor, saya dengar (sahaja) bukan 'confirm'. Apa yang saya dengar itulah Selangor, bukan Kedah,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon pada Khamis.

Iklan

Menteri Besar Kedah itu percaya kehadiran Shahidan mampu menguatkan PN khususnya di Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

"Ini kerana Shahidan pernah memiliki pengalaman sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, saya alukan sekiranya beliau berhasrat tanding PRN, seronok juga ada tokoh veteran seperti beliau," ujarnya.

Iklan

Shahidan sebelum ini digugurkan Barisan Nasional (BN) daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun berjaya mempertahankan kerusi Parlimen yang ditandingi atas tiket PN.

Shahidan yang merupakan calon di Parlimen Arau menang dengan majoriti 23,216 undi menewaskan calon BN-UMNO, Datuk Rozabil Abd Rahman (8,242 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Fathin Amelina Fazlie (7,089 undi).

Kemenangan itu membolehkan Shahidan mempertahankan kerusi Parlimen Arau untuk penggal kelima.