ADAB berpakaian baju Melayu lengkap bersamping dan bertanjak perlu dipertahankan kerana ia merupakan akar budaya orang Melayu sejak zaman berzaman dan menggambarkan identiti kaum yang bermaruah.
Atas sebab itu, seorang penggiat seni bersama 70 ahli Kelab Serindit Mati Tersepit tidak ketinggalan merancakkan sambutan Aidilfitri dengan pemakaian lengkap sepersalinan busana tradisional Melayu itu.
Bercakap kepada Sinar Harian, Noor Azman Norawi, 56, yang lebih dikenali dengan gelaran Man Kayan berkata, tradisi berbusana pada hari lebaran dilakukan sebagai usaha untuk mengekalkan pakaian tradisional itu yang kian dilupakan.
Menurutnya, ia juga secara tidak langsung dapat mengembalikan nostalgia dalam kalangan masyarakat kerana pemakaian busana tidak hanya pada majlis-majlis tertentu tetapi juga pada musim perayaan.
"Kami tidak mahu benda-benda lama (busana tradisional) hilang di mata, jadi kami bukan sekadar memakai (busana) dalam persembahan, tetapi turut memakai pakaian itu untuk sambutan Aidilfitri.
"Nostalgia lama itu bukan hanya boleh dilihat dalam buku, tetapi bila dipakai secara realiti ia lebih menyerlah dengan warna warninya selain mempunyai banyak falsafah.
"Jadi, kami berbusana untuk memastikan orang luar dan masyarakat di Pahang dapat menghargai budaya dan kesenian orang Melayu," katanya ketika ditemui di Sanggar Budaya Kelab Serindit Mati Tersepit, Kampung Permatang Badak di sini, baru-baru ini.
Tanpa memaksa mana-mana individu untuk mengenakan busana Melayu, dia yang juga pengasas Kumpulan Anak Kayan dan pengiat seni busana Melayu memberitahum semua ini dilakukan untuk mengekalkan budaya di negeri ini.
"Kita buat ape yang kita mampu, bagi mereka yang berminat boleh mengikuti, macam saya niatnya untuk memastikan pakaian ini terus ada.
"Jadi sebab itu, saya belajar membuat busana sendiri dan menjahit pakaian ini kepada ahli kumpulan serta keluarga," ujarnya yang menetap di Permatang badak.
Sementara itu, pekerja swasta, Wan Bakar Wan Omar, 53, berkata, sudah menjadi rutin bila tiba satu Syawal, dia akan mengenakan busana Melayu.
"Bangga bila anak-anak saya pun turut sama memakai busana Melayu pada pagi raya dan ini sebenarnya warna warni pakaian Melayu tradisional kita," jelasnya.