Nik Marhammah pejuang kelingkan

Iklan
Kelingkan terpanjang yang digayakan oleh mempelai. Foto Ihsan Meglens/Kotak hati. Gambar kanan: Benang kelingkan juga sukar diperoleh.

KOTA BHARU - Kelingkan ialah selendang sutera sifon bersulam benang logam keemasan yang digayakan oleh kenamaan, kerabat dan bangsawan di Kelantan.

Kelingkan turut dipakai oleh mempelai ketika bersanding bagi membangkitkan lagi seri dan keayuan wajah si pemakai.

Iklan
Iklan

Malangnya, penghasilan kelingkan yang bernilai ribuan ringgit itu semakin hari diancam kepupusan.

Di negeri Che Siti Wan Kembang, seorang cucu saudara bekas tukang jahit Istana Kelantan, Nik Marhammah Nik Megat, 50, menjadi satu-satunya pembuat kelingkan yang masih ada untuk memastikan warisan paling berharga itu tidak terus terkubur.

Iklan

Nik Marhammah secara tidak sengaja menceburi bidang sulaman kelingkan warisan turun temurun keluarganya itu bermula pada 2006 selepas dipelawa oleh nenek saudaranya, Nik Rahimah Nik Idris, 82, yang juga Adiguru Kraf Sulaman Kelingkan dan Tokoh Seni Pertukangan Kraf.

"Ramai yang tarik diri kerana sangat payah nak menyulam kelingkan. Kalau orang yang tak sabar, dia akan bosan.

Iklan

"Saya selalu tengok nenek dan sepupu-sepupu menyulam kelingkan tetapi tidak pula rasa ingin belajar membuatnya.

"Selepas mencuba, barulah timbul rasa seronok dan minat nak menyulam kelingkan,” katanya kepada Sinar Harian di Taman Uda Murni di sini pada Jumaat.

Nik Marhammah menggayakan kelingkan yang bernilai RM6,000.

Menurut graduan Diploma Rekabentuk Fesyen di International Fesyen Traning Centre Kuala Lumpur itu, penghasilan kelingkan memerlukan kreativiti, penelitian dan kesabaran yang amat tinggi bagi menghasilkan corak bunga-bungaan seperti balun ayam, ros, tikam seladang orkid, kangkung, bunga raya serta bunga baling.

"Paling sukar kelingkan pernah disulam ialah corak bunga anggerik air yang sangat rumit kerana cabaran untuk mengolah pergerakan benang bagi menghasilkan alunan yang cantik dan timbul.

"Kelingkan juga boleh disulam pada baju, bantal, selipar, tempat duduk raja atau kipas tangan tetapi jahitannya berbeza iaitu cara tekap.

"Kalau di Perak, mereka tekap menggunakan benang emas,” katanya.

Menurut wanita itu, selendang kelingkan yang bersaiz 1.7 meter panjang dan 0.55 meter lebar dengan corak ringkas kacang butir mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan.

Harganya pula mencecah sekitar RM2,000 hingga RM6,000 jika corak bunganya lebih rumit.

"Kelingkan paling besar dan panjang di Malaysia atau mungkin di dunia iaitu sepanjang 2.7 meter dengan lebar semeter bercorak sulaman bunga anggerik air, kiambang dan terung pipit pernah dihasilkan untuk sepasang pengantin di negeri Che Siti Wan Kembang.

"Kelingkan tersebut dianggarkan bernilai RM20,000.

"Harga benang kelingkan sangat mahal dan sukar diperoleh. Saya mendapatkan kelingkan dari Sarawak yang juga diimport dari luar negara dengan harganya mencecah kira-kira RM20 semeter,” kata Nik Marhammah.