Sultan Kedah berkenan berangkat ke rumah terbuka Madani esok

Iklan
Sultan Sallehuddin

PUTRAJAYA - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan untuk berangkat bercemar duli ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Kerajaan Persekutuan menjunjung kasih atas limpah perkenan Sultan Kedah berangkat hadir ke majlis tersebut," katanya.

Tambah beliau, keberangkatan baginda pastinya akan menambah lagi seri Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani.

Iklan

"Sekali gus memberi peluang kepada rakyat Kedah untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama Tuanku," katanya.

Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri bermula di Kedah pada 29 April ini bertempat di Hotel Raia Alor Setar dari 10 pagi hingga 2 petang.

Iklan

Kemudian ia akan diteruskan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 6 Mei bermula 11 pagi hingga 2 petang dan Wisma Majlis Bandaraya Seremban esoknya dari 10.30 pagi hingga 3 petang.

Penganjuran di Kelantan bakal diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada 12 Mei manakala acara di Terengganu berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu pada 13 Mei.

Rumah terbuka di kedua-dua negeri berkenaan akan diadakan dari 7 malam hingga 10.30 malam.

Kemuncak sambutan rumah terbuka itu akan berlangsung di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak di Batu Caves, Selangor pada 14 Mei dari 8 malam hingga 11 malam.