MELAKA - Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin yang didakwa terpalit dengan isu skandal rasuah seks sewajarnya membuat laporan polis bagi membersihkan nama beliau dan UMNO.
Bekas Timbalan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, sekiranya benar individu itu tidak melakukan perbuatan terbabit, beliau perlu berani tampil untuk membuat laporan polis.
Menurutnya, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh juga perlu berperanan serta bertanggungjawab dengan menasihatkan Rais membuat laporan polis sekali gus menghentikan segala fitnah terhadap beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO negeri.
Katanya, jika benar isu itu merupakan fitnah beliau patut meletakkan kepercayaan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan kepada individu yang menyebarkan fitnah tersebut susulan laporan yang dibuat.
"Beliau (Ab Rauf) ambil tangunggjawab betulkan keadaan, supaya kerajaan bawah pimpinannya bersih.
"Minta dia (Rais) buat laporan polis dan bersihkan nama baik kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Tambahnya, apa yang membimbangkan, persepsi anak-anak muda terhadap parti itu akan merosot apabila kontroversi rasuah seks dikaitkan dengan pemimpin UMNO.
Ujarnya, beberapa beberapa wakil cawangan UMNO bahagian itu juga akan membuat laporan polis berhubung dakwaan skandal rasuah seks melibatkan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu.
"Saya jangkakan 20 cawangan akan membuat laporan polis," katanya lagi.