Pihak bertelagah di Sudan lanjut gencatan senjata 3 hari lagi

Iklan
Orang ramai larikan diri dari bahagian selatan Khartoum ketika pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera RSF pada Khamis. - Foto AFP

KHARTOUM - Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada Khamis bersetuju melanjutkan gencatan senjata sedia ada, yang tamat pada tengah malam Khamis, selama tiga hari lagi, lapor Xinhua.

Abdel Fattah al-Burhan, komander jeneral tentera memberi kelulusan awal untuk lanjutan gencatan senjata lewat Rabu selama 72 jam lagi, kata tentera dalam kenyataan dengan menegaskan kelulusan lanjutan gencatan senjata itu dibuat secara unilateral.

Iklan
Iklan

Sementara itu, RSF dalam kenyataan di Twitter berkata, pihaknya bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata kemanusiaan selama 72 jam lagi bermula pada tengah malam Khamis.

"Kami mengesahkan komitmen kami terhadap syarat-syarat gencatan senjata kemanusiaan, dengan mengambil kira keadaan rakyat Sudan serta bagi memudahkan pemindahan warga diplomatik dan asing," menurut kenyataan itu.

Iklan

Gencatan senjata semasa gagal menghentikan pertempuran di ibu negara Sudan, Khartoum dan wilayah lain, namun membuka peluang kepada negara asing untuk memindahkan diplomat dan rakyat mereka dari negara yang dilanda konflik itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia konflik bersenjata yang tercetus antara tentera Sudan dan RSF pada 15 April mengorbankan sekurang-kurangnya 459 orang dan mencederakan lebih 4,000 setakat ini. - Bernama/ Xinhua

Iklan