JOHOR BAHRU - Penduduk di Felda Ulu Tebrau di sini digemparkan dengan dakwaan kemunculan binatang buas dipercayai harimau selepas menemukan kesan tapak kaki haiwan berkenaan dan bangkai binatang ternakan dalam kebun kelapa sawit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz berkata, beliau sudah berhubung dengan pengurus Felda tersebut meminta penduduk berjaga-jaga selain mengambil beberapa inisiatif bagi menjamin keselamatan di kawasan berkenaan.
"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah turun memantau kawasan ladang dan akan datang semula dalam masa terdekat.
"Pada masa ini, pengurus Felda sudah memaklumkan kepada penduduk tidak digalakkan masuk ke kawasan ladang buat sementara waktu.
"Sekiranya perlu juga masuk, pastikan berpasangan atau berkumpulan. Elakkan bertentangan mata dengan haiwan buas sekiranya terjumpa kerana ia anggap sebagai ancaman," katanya dalam Facebook miliknya pada Jumaat.
Tular beberapa foto berkenaan penemuan binatang buas tersebut dalam media sosial pada Jumaat.
Amira turut menasihatkan penduduk supaya tidak mendekati haiwan tersebut dan kekalkan jarak yang selamat.
"Jangan ganggu haiwan ini sewaktu ia sedang makan atau berehat. Keselamatan kita paling utama. Agensi berwajib sedang jalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.
"Tanggungjawab kita sekarang adalah untuk sebarkan pesanan di atas dan jaga keselamatan diri," katanya.