GEORGETOWN - Kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang memfokuskan untuk memulihkan ekonomi negara selain menjaga kebajikan rakyat.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, desas-desus yang mengatakan kerajaan akan disingkirkan tidak menjadi ancaman kerana Kerajaan Perpaduan yang dibentuk daripada empat gabungan politik bersama PH itu mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk rakyat dan negara.
"Saya mahu tegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar ini padat, utuh dan berfungsi secara baik. Saya tidak menganggap ia (desas-desus itu) sebagai satu ancaman dan saya juga tidak bercadang untuk memberi maklum balas apa juga desas-desus di luar sana.
"Fokus kami sekarang adalah untuk memulihkan balik ekonomi, membantu rakyat terutamanya selepas post Covid, kestabilan politik, memakmurkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat," katanya pada sidang media ketika berada di atas Kapal Maritim Burau di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, muncul desas-desus mengatakan terdapat rancangan untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar.
Dakwaan itu berdasarkan sebuah laporan portal berita pada Isnin yang menyatakan gerakan itu disertai oleh beberapa ahli Parlimen yang mana sebelum ini menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Laporan berkenaan turut menyenaraikan 10 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.
Di bawah undang-undang antilompat parti, mana-mana ahli Parlimen yang meletak jawatan atau berhenti menjadi ahli parti akan kehilangan kerusi di Dewan Rakyat sekali gus mencetuskan pilihan raya kecil.