'Mael XPDC idola rock, tiada pengganti' - Peminat

Iklan
Ahli keluarga dan kenalan mengadakan bacaan tahlil buat Allahyarham. (Gambar kecil: Mael). - Foto Astro Awani

MUAR - Pemergian vokalis kumpulan XPDC, Mael ke rahmahtullah malam tadi tidak hanya mengundang duka dalam kalangan keluarga Allahyarham.

Sebaliknya, berita kematian penyanyi rock yang sangat disegani ramai itu turut mengejutkan seluruh industri hiburan dan peminat-peminat setia Allahyarham dan kumpulan XPDC.

Iklan
Iklan

Peminat kumpulan rock popular ketika era 1980 hingga 1990-an itu mengakui terkejut dengan berita pemergian vokalis kumpulan itu dan menyifatkan kehilangan Mael, 55, sebagai pemergian yang cukup besar bagi industri muzik tanah air.

Mohd Ridzal Abdul Raho (kiri) dan Romi Bahrin. - Foto Astro Awani

Seorang peminat tegar XPDC, Mohd Ridzal Abdul Raho, 52, berkata, sejak usia awal 20-an, dia tidak pernah terlepas untuk menghadiri setiap konsert mahupun persembahan kecil kumpulan berkenaan.

Iklan

"Sejak usia 20-an saya tidak pernah terlepas mana-mana konsert XPDC yang mana kalau dulu ketika zaman belum ada kenderaan, saya dan rakan-rakan sanggup kumpul duit untuk pastikan kami dapat tengok Allahyarham Mael menyanyi lagu-lagu popularnya.

"Sehinggakan dahulu kami pernah tidur bawah jambatan selepas habis konsert sementara tunggu bas pertama untuk pulang semula ke kampung di Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di kediaman anak perempuan Allahyarham Mael di Sungai Abong, di sini, pada Khamis.

Iklan

Mohd Ridzal yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, tidak menyangka persembahan XPDC di daerah itu pada awal Mac lalu merupakan yang terakhir ditontonnya.

"Sebagai peminat tegar, pada saya kehilangan Allahyarham memang tiada ganti dan merupakan satu kehilangan besar buat industri hiburan negara.

"Sikapnya yang sangat menghargai peminat saya tidak nampak ada pada artis-artis lain dan sudah pasti selepas ini kami sebagai peminat hanya dapat mengenang arwah melalui album lagu-lagunya yang saya simpan sejak dahulu lagi,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, salah seorang kru pengurusan XPDC, Romi Bahrin, 47, berkata, komitmen Allahyarham Mael dalam setiap persembahannya sehingga kini sememangnya tiada galang ganti.

"Saya sudah bekerja dengan Allahyarham Mael sejak 10 tahun lalu dan kalau nak dikenang peribadi arwah memang sangat baik dan mudah orangnya.

"Walaupun dia memang mempunyai penyakit asma sejak dahulu lagi, tetapi setiap kali persembahan dia akan sentiasa buat yang terbaik dan tidak akan mengecewakan peminatnya yang kebanyakannya datang dari jauh,” kata Romi mengenang penyanyi yang amat dihormatinya itu.

Kaum keluarga dan rakan-rakan Allahyarham Mael hadir memberi penghormatan terakhir. - Foto Astro Awani

Jenazah Allahyarham Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, di sini, sebelum solat Jumaat hari ini.

Allahyarham Mael, 55, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.30 malam tadi di Hospital Muar

Berita pemergian disahkan anak perempuan Allahyarham, Sharifah Irfatasha.

Allahyarham yang menetap di Parit Tiram di sini meninggalkan lima anak berusia antara 20 hingga 29 tahun. - Awani