MERSING - Politeknik Mersing Johor (PMJ) bersedia menjadi pusat latihan teknikal zon selatan bagi persediaan ke pertandingan Robotik 2019.
Satu perbincangan antara PMJ bersama Kolej Komuniti Batu Pahat telah diadakan bagi memperhalusi kerjasama teknikal serta kepakaran bersama ini.
Pengarah PMJ, Hassan Siraj berkata, perbincangan bersama Pengarah Kolej Komuniti Batu Pahat, Abd Rahim Ma'sum disambut baik kedua-dua pihak untuk persediaan menghadapi pertandingan robotik itu.
Iklan
Iklan
"Persediaan diperlukan bagi menghadapi pertandingan Robocon Malaysia 2019 yang bakal berlangsung pada 25 April hingga 28 April 2019 dan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
"Manakala pertandingan robot tempur Malaysia ke-5 pula berlangsung pada Jun 2019 yang mana dapat membuka ruang kepada mahasiswa mempamerkan kemahiran, inovasi dan kreativiti dalam bidang penciptaan robot," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Eletrik PMJ, Hamzah Zakaria berkata, penglibatan dalam pertandingan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pendedahan kepada mahasiswa dalam dunia robotik.
Katanya, dalam masa sama menguji kepakaran pensyarah bagi menjadi lebih berdaya saing sebagaimana hasrat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bagi membangunkan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
"Kelebihan dari segi logistik dan keperluan teknikal menyebabkan Jabatan Kejuruteraan Elektrik adalah merupakan pusat latihan terbaik dalam melatih tugasan dan kategori- kategori yang perlu dicapai dalam pertandingan Robotik 2019,” katanya.