BERUAS - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung sedang memantau kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Buruk Bakul di sini sejak malam Khamis.
Pegawai APM Daerah Manjung, Kapten Suliana Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kes tanah runtuh tersebut pada jam 9.20 malam.
Katanya, susulan itu seramai enam anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan runtuhan yang berlaku akibat aliran air dari atas bukit berhampuran.
"Setakat ini keadaan masih terkawal dan tiada sebarang pergerakan tanah berlaku namun penduduk dinasihatkan sentiasa berwaspada jika berlaku hujan berterusan.
"Dalam kejadian malam tadi, sebanyak lima rumah dinaiki air namun tiada penduduk yang dipindahkan kerana air mulai surut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Suliana berkata, runtuhan tanah tersebut hanya menjejaskan pagar surau dan dewan namun tidak melibatkan rumah penduduk setempat.
Menurutnya, pihak APM akan terus memantau dan mengambil tindakan segera jika situasi tanah runtuh tersebut semakin buruk.