BATU PAHAT - Penduduk di sekitar kawasan Parit Sulong di sini menggesa pihak berwajib segera membantu menangani isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.
Tinjauan Sinar Harian ke Kampung Parit Puasa pada Jumaat mendapati, rata-rata penduduk di situ telah menempatkan bekas air besar di hadapan rumah masing-masing bagi tujuan mengisi bekalan air bersih yang dibekalkan kepada mereka.
Menurut seorang penduduk, Muhammad Shazni Saidon, 31, masalah berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama dan paling kritikal berlaku apabila tiba musim perayaan seperti hari raya.
Malah katanya, kali ini masalah itu berlaku sehari sebelum hari raya dan sekali gus menimbulkan pelbagai kesulitan kepada orang ramai terutamanya penduduk di kampung berkenaan.
"Masalah ini (gangguan air), akan berlaku setiap kali nak raya... dan kali ni berlaku sehari sebelum raya, masa bulan puasa hari tu elok saja.
"Masa raya inilah, air tak ada.. Kalau ada pun airnya tak kuat, macam saya dah seminggu tak basuh baju di rumah, semua hantar dobi.
"Nak buat macam mana, air yang ada pun cukup untuk buat masak dan mandi sahaja," katanya.
Pendapat itu turut dipersetujui seorang penduduk, Mohamad Safiq Misrom, 26, yang mengakui masalah itu kerap berlaku terutamanya ketika tiba hari raya hingga membuatkannya terpaksa menolak kehadiran tetamu termasuk saudara mara sendiri.
Katanya, biarpun tidak sampai hati berbuat demikian namun, dia terpaksa berikutan masalah ketiadaan air yang berlaku.
"Memang terkilan sebab terpaksa 'tolak' tetamu nak datang, tapi nak buat macam mana dah air tak ada.
"Masalah air tak ada ni sebenarnga kejadian berulang setiap kali bila raya... masa tu ramai orang balik kampung dan penggunaan air meningkat.
"Bagi saya, tahun ni paling teruk sebab lebih seminggu dah tak ada air... kalau tahun lepas, siang tak ada air, malam ada air, tapi kali ini sama ada siang atau malam, tak ada air. Harap dapat segera selesaikan masalah ini," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Razzwin Safer, 29, berkata, masalah berkenaan perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berwajib agar ia tidak menjadi lebih serius selepas ini.
Katanya, penduduk juga mahu agar permasalahan air itu ditangani secepat mungkin.
"Semua orang tahu masalah air di kampung ni... tak perlu tunggu raya pun bila waktu Maghrib je air akan perlahan dan kalau tak bernasib baik, terus terputus (tak ada air).
"Bagaimanapun, kami penduduk kampung ni dah terbiasa... boleh kata ramai yang ada tangki air di rumah masing-masing tujuannya untuk menyimpan air yang dibekalkan, tapi sampai bila?" katanya.