JOHOR BAHRU - Penduduk Felda Ulu Tebrau di sini bimbang dengan ancaman haiwan buas yang didakwa merupakan seekor harimau muncul dalam ladang sawit berhampiran penempatan mereka dan masih lagi bebas berkeliaran.
Ujang Hassan, 53, berkata, cerita mengenai binatang buas tersebut tersebar sejak tiga hari lalu sekali gus mengejutkan penduduk setempat selepas penemuan bangkai dan lembu yang sudah mati dibunuh.
"Sebelum ini lembu-lembu yang dilepaskan di kawasan kebun sawit tersebut tidak pernah diusik binatang buas. Memang kira-kira lima tahun dulu ada penduduk nampak harimau di kebun sawit tetapi tiada kes lembu mati akibat diserang.
"Saya dimaklumkan dua hari lepas pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) ada datang ke sini dan mereka memasang kamera dan perangkap selepas menerima aduan," katanya ditemui pemberita di Felda tersebut pada Jumaat.
Ketika ini tular beberapa foto penemuan beberapa bangkai lembu dan tapak kaki binatang buas tersebut dipercayai seekor harimau di ladang kelapa sawit berkenaan.
Ujang yang berniaga kedai makan di Felda tersebut berkata, pihaknya dimaklumkan Perhilitan masih belum dapat mengenal pasti sama ada harimau berkenaan jenis harimau belang atau harimau kumbang.
"Berdasarkan penemuan tapak kaki dipercayai harimau, ukuran dan saiz binatang buas tersebut adalah besar dan sudah dewasa. Ini juga berdasarkan jarak antara tapak kaki harimau tersebut," katanya.
Ismail Maarop, 46, yang bekerja membawa pekerja warga Bangladesh ke ladang kelapa sawit itu berkata, kehadiran binatang buas tersebut disedari pada Isnin selepas penduduk menemukan satu bangkai lembu.
Pada masa itu katanya, cerita kehadiran binatang buas itu hanya diketahui pekerja dan pihak pengurusan ladang tersebut namun pada Selasa, seekor lembu tanpa kepala ditemukan dan cerita berkenaan mula tersebar di Felda berkenaan.
Selamat Putat, 72, pula berkata, sebelum ini ratusan ekor lembu dilepaskan untuk mencari makan di ladang tersebut dan tidak pernah berlaku insiden diserang binatang buas.
"Penduduk ketika ini digemparkan dengan penemuan harimau di ladang kelapa sawit yang jaraknya tidak sampai 2 kilometer dari rumah penduduk. Beberapa tahun dulu digemparkan dengan penemuan seekor gajah tetapi tidak mengganggu penduduk atau tanaman," katanya.
Mat Isa Kasman, 75, berpendapat binatang buas tersebut datang dari hutan berdekatan Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di kawasan yang bersempadan dengan Kota Tinggi.
Bapa kepada 12 anak itu berharap pihak Perhilitan dapat segera menangani masalah tersebut supaya sebarang kejadian tidak diingini dapat dielakkan dan keadaan kembali tenang seperti sebelum ini.
Arifin Jaafar, 45, berkata, masalah tersebut adalah serius kerana bukan sahaja membabitkan keselamatan malah sumber pendapatan penduduk juga terjejas kerana tidak dapat bekerja seperti biasa.
Sementara itu Pengarah Perhilitan, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan.
"Perhilitan memasang perangkap kamera bagi mengenal pasti haiwan berkenaan. Kami menjangka hanya seekor harimau dan datang dari kawasan Kota Tinggi dan melintas di lokasi ini," katanya ketika dihubungi.