ALOR SETAR - Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke pentas utama Himpunan Madani Kedah disambut dengan laungan ‘kalih bagi sama’ di Dataran Stargate pada petang Jumaat.
Anwar yang tiba pada 5.30 petang meluangkan masa sekitar 10 minit meninjau persekitaran sambil beramah mesra dengan hadirin yang hadir sejak 3 petang.
Anwar yang turut diiringi beberapa menteri kabinet turut bergambar bersama sekumpulan anak muda berbaju biru muda yang hadir secara konvoi motosikal.
Himpunan Madani bermula pada 3 petang dengan acara santai motosikal dan acara santai wanita diikuti persembahan buskers yang diselang-selikan dengan pidato sehingga 6 petang.
Antara wakil pidato yang mengambil bahagian ialah suara anak muda, wanita, pesawah, petani dan nelayan.
Turut diadakan cabutan bertuah 100 hamper dan 40 basikal serta edaran pek sajian sebelum acara kemuncak berlangsung pada sebelah malam.
Pidato oleh kepimpinan Kedah akan bermula jam 8 malam, antaranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Ismail Salleh dan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Seterusnya, diadakan sesi cabutan bertuah hadiah utama sebelum dimeriahkan dengan persembahan khas Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search pada 9 malam.
Acara kemudiannya disusuli dengan pidato pimpinan nasional antaranya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar dijangka melancarkan bas dan trak perpaduan pada 10.15 malam sebelum menyampaikan ucaptama sebagai acara penutup.
Kehadiran Anwar ke Kedah adalah bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani yang akan diadakan di Raia Hotel, bermula 10 pagi hingga 2 petang pada Sabtu.