KUALA KEDAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memuktamadkan segera skim insurans Rahmah yang akan ditawarkan kepada orang ramai khususnya golongan B40 dan M40.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengadakan dua pertemuan dengan syarikat insurans setakat ini bagi memperincikan pakej insurans di bawah Inisiatif Payung Rahmah.
"Pertemuan dengan pihak bank akan diadakan untuk memuktamadkan apakah skim dan pakej perbankan yang akan mereka tawarkan. Kita sudah adakan dua libat urus dan pihak insurans sudah pertimbangkan cadangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Santai Minum Petang dan Sumbangan Bakul Rahmah di Dewan Restoran Anjung Kuala di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh dan ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.
Salahuddin berkata, skim insurans dicadangkan itu akan turut meliputi kenderaan terpakai, kerosakan kotak gear atau enjin akibat bencana alam seperti banjir, selain daripada perlindungan hartanah.
Beliau berharap, insurans yang ingin diperkenal itu memberi peluang dan membantu golongan terlibat melindungi hartanah mereka apabila premiumnya ditawarkan pada harga berpatutan.
"Skim ini amat penting bagi memastikan nasib pengguna terbela apabila berdepan dengan bencana seperti banjir di kampung ataupun daerah terjejas," katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, beberapa lagi inisiatif tambahan akan dilaksanakan, misalnya sebuah restoran makanan segera akan menambah satu lagi menu Rahmah dalam jualan mereka.
Dalam perkembangan lain, kata Salahuddin, agihan Bakul Rahmah kepada golongan memerlukan telah mencapai 70 peratus.