RANTAU PANJANG - Kepayahan untuk bergerak bukan alasan kerana kesungguhan mencari rezeki menjadi keutamaan orang kurang upaya (OKU), Mohd Zailani Mohd Noor.
Mohd Zailani yang berusia 35 tahun dan cacat penglihatan berusaha dengan melakukan perkhidmatan urutan bergerak sejak lima tahun lalu.
Anak keenam daripada 11 beradik yang pernah tinggal di Kuala Lumpur mengakui sukar mendapatkan kemudahan kenderaan untuk OKU di Kelantan, malah terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk mencari rezeki.
"Rumah saya di Kampung Tersang, Rantau Panjang agak jauh dari Kota Bharu dan terpaksa bergantung kepada ahli keluarga untuk ke lokasi pelanggan jika menerima tempahan.
"Ada ketika saya perlu membayar tambang e-hailing kira-kira RM70 untuk ke Kota Bharu dan daerah berdekatan,” katanya.
Jelasnya, kebanyakan tempahan yang diterima ialah dari pelanggan di Bachok, Ketereh dan Kota Bharu.
"Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, kami mempunyai laluan jalan kaki khas selain kemudahan pengangkutan yang banyak dan sistematik,” katanya.
Berkongsi persediaannya sebelum keluar melakukan urutan, Mohd Zailani memberitahu, antara barang yang perlu dibawa ialah tuala, sarung tangan plastik dan minyak urut.
Dia yang turut melakukan perkhidmatan bekam angin dan bekam darah menyediakan pakej urutan bermula RM30 dan ke atas bergantung kepada masa dan bahagian tubuh.
"Biasanya harga yang ditawarkan ialah RM50 sejam untuk urutan badan dan RM30 untuk kaki hingga pergelangan betis,” katanya.
Bagi menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang tersebut, Mohd Zailani mempelajari kaedah urutan untuk strok dan pening di Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.
Bekas pelajar Sekolah Pendidikan Khas Indah Pura, Kulai Johor, itu juga mendakwa akan berdepan risiko ‘gangguan’ atau aura negatif selepas mengurut pelanggan jika tidak berhati-hati.
"Saya memulakan setiap urutan dengan selawat dan bacaan surah al-Fatihah supaya penyakit daripada pelanggan tidak ‘berpindah’ ke tubuh saya,” katanya.
Bercerita mengenai minatnya dalam bidang urutan, Mohd Zailani berkata, pada mulanya dia hanya mencuba kerana memikirkan tiada lagi pekerjaan yang sesuai dengan keadaan dirinya.
"Saya pun tidak tahu sejauh mana kemampuan akademik dalam keadaan sukar mencari pekerjaan. Jadi saya mengambil keputusan untuk belajar mengurut dan lama-kelamaan berminat dalam bidang ini,” katanya.
Mohd Zailani yang mewarisi kebolehan ibunya, Mek Dah Salleh, 67, bersyukur kerana minatnya mendapat sokongan keluarga.
"Sebenarnya keadaan kami sebagai OKU sukar sepanjang pandemik Covid-19 kerana tidak dapat bekerja dan mengharapkan wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450.
"Selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keadaan lebih menyedihkan kerana kekurangan pelanggan akibat keadaan ekonomi,” katanya.
Mohd Zailani berkata, setiap urutan dapat melancarkan peredaran darah tetapi ada individu tertentu yang sensitif untuk berurut.
"Antara mereka yang perlu berhati-hati jika mengurut ialah pesakit kencing manis, wanita mengandung dan dalam keadaan haid,” katanya.
Sebagai OKU yang tidak mahu terus bergantung harap kepada keluarga Mohd Zailani akan terus mencari rezeki melalui urutan bergerak.