SHAH ALAM -"Saya rindu nak beraya bersama keluarga semula dan teringin nak makan lagi nasi goreng pataya yang mak saya masak,” rintih seorang kanak-kanak yang kini menetap di Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Untuk Anak Yatim, OKU, Fakir Miskin dan Asnaf Zakat, Rumah Al Mahabbah.
Kanak-kanak yang ingin dikenali sebagai Kasim itu adalah antara yang mempunyai masalah keluarga di mana kedua-dua ibu bapa tidak dapat menjaga mereka atas sebab-sebab tertentu.
Kasim yang berusia 10 tahun berkata, meskipun sedih kerana terpaksa menyambut hari raya Aidilfitri tahun ini tanpa keluarga di sisi, namun masih bersyukur kerana mempunyai dukungan daripada rakan dan guru-guru di penempatan tersebut.
Seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengan dirinya, Kasim akui turut dahagakan kasih sayang daripada ibu bapanya dan masih menaruh harapan agar dapat menyambut perayaan pada tahun ini bersama keluarga tercinta dengan Syawal yang masih berbaki.
Ujarnya, selain kenangan memori indah bersama keluarga, dia turut merindui masakan yang disediakan oleh ibunya iaitu nasi goreng pataya.
"Saya harap dapat jumpa mereka lagi. Biasanya pada hari raya, kita akan solat sama-sama dan saya akan tolong mak saya memasak,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, penghuni Rumah Al Mahabbah yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 10, berkata, dia tidak pernah berjumpa dengan ibu bapanya sejak dilahirkan sebaliknya menganggap semua penghuni di rumah tersebut sebagai ahli keluarganya.
Bagaimanapun, Ahmad yang berasal dari Selangor berkata, dia dan rakan-rakannya tidak pernah dibelenggu dengan rasa sunyi kerana guru-guru sentiasa menyediakan pelbagai aktiviti untuk mengisi masa lapang mereka termasuk usrah, membaca al-Quran, aktiviti riadah, makan beramai-ramai dan sebagainya.
"Biasa raya, kita akan makan nasi himpit dengan kawan-kawan. Seronok dapat raya ramai-ramai sebab dapat berkawan. Tak sunyi.
"Kadang-kadang bila raya, ustaz akan bawa kita keluar di taman untuk jalan-jalan. Tapi ada masa raya kat asrama juga,” ujarnya.
Sementara itu, penghuni Rumah Al Mahabbah lain yang ingin dikenali sebagai Ikram,10, berkata, pengalaman menyambut raya dengan keluarga dan rakan-rakan yang senasib dengannya memang berbeza.
Katanya, oleh sebab mereka melakukan aktiviti harian bersama rakan, pengalaman itu sedikit sebanyak mengubati kekosongan dalam hati mereka.
"Memang raya dengan kawan-kawan seronok. Tetapi lagi seronok dapat raya dengan mak ayah.
"Harap dapat jalan-jalan dan makan bersama dengan mereka lagi,” ulasnya.