Penghuni Chow Kit gembira dapat pakai baju baharu

Iklan
Penghuni kawasan Chow Kit dan golongan gelandangan mengambil peluang memilih pakaian untuk dipakai pada Syawal ini.

KUALA LUMPUR - Bagi sesetengah pihak, sambutan Aidilfitri tidak memberi sebarang makna sekiranya tiada baju Melayu lengkap atau sepersalinan baju kurung baharu untuk digayakan pada pagi Syawal.

Namun tidak bagi penghuni di kawasan Chow Kit di sini, sambutan 1 Syawal tetap sama seperti hari-hari biasa yang mana tiada persalinan baju baharu, aktiviti kunjung-mengunjung, bertukar juadah mahupun pemberian duit raya.

Iklan
Iklan

Ketika ramai yang tidak ‘peduli’ dengan keadaan mereka, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tampil dengan inisiatif memberi pakaian terpakai secara percuma sebagai persiapan perayaan tahun ini.

Pelbagai jenis pakaian disediakan antaranya baju Melayu, kurung, tudung, baju T, blaus dan jubah untuk kegunaan golongan berkenaan.

Iklan

Bagi penghuni di kawasan Chow Kit, Azza Nasir, 30, pemberian tersebut memberi keceriaan kepada keluarganya yang sebelum ini menyambut hari raya tanpa baju raya baharu.

Azza (kiri) dan Rubiah.

"Tahun lepas kami sekeluarga hanya pakai pakaian sedia ada, tidak beli atau dapat baju baharu. Hari raya juga tidak ke mana-mana. Anak-anak minta belikan baju raya, saya tidak mampu.

Iklan

"Bagi saya keperluan untuk anak-anak lebih penting dan dengan pemberian baju raya ini, sedikit sebanyak memberi kelegaan terutama dalam menyediakan kelengkapan tiga anak yang teruja untuk beraya tahun ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Rubiah Meorhanim, 46, sambutan Aidilfitri setiap tahun hanya dilakukan secara ala kadar ekoran dia dan suami tidak mempunyai keluarga, malah kedua-duanya membesar di rumah kebajikan.

Justeru katanya, segala persiapan menyambut perayaan tidak diberi keutamaan ekoran lebih mengutamakan perbelanjaan untuk kelangsungan hidup.

"Dua anak saya sangat gembira memilih baju yang disediakan dan saya sangat bersyukur anak-anak dapat meraikan Aidilfitri dengan persalinan baharu.

"Setidaknya mereka dapat rasa menyambut Aidilfitri dengan baju baharu sama seperti orang lain walaupun ia hanya pakaian terpakai,” ujarnya.