SHAH ALAM - Inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyebarluaskan program antirasuah menerusi pendidikan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta peringkat sekolah perlu dilakukan dengan lebih serius.
Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata, walaupun terdapat beberapa persatuan mahasiswa di beberapa institusi pendidikan telah diwujudkan sejak sekian lama, namun sehingga kini kes rasuah semakin meningkat berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah.
"Subjek berkaitan rasuah patut ada dalam sukatan mata pelajaran (silibus) di sekolah sehingga universiti.
"Sebelum ini terdapat beberapa institusi pendidikan seperti maktab perguruan dan Mara turut menyediakan silibus ini, namun dilihat kurang memberangsangkan,” ujarnya.
Pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan program bersasar membabitkan sektor perolehan kerajaan, dana awam atau peruntukan kerajaan dan penguatkuasaan bagi mencegah berlakunya amalan rasuah.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, program itu akan dilaksanakan bagi memberi tumpuan terhadap isu kartel, ketirisan dana kerajaan, pelanggaran undang-undang dan ketidakcekapan dalam mengutip hasil kerajaan.
Dalam pada itu, tambah Wan Azliana, ia merupakan usaha yang baik sekiranya kerajaan serius mahu membendung rasuah dan melibatkan masyarakat secara khusus untuk melaporkan aktiviti tersebut kepada pihak SPRM.
Justeru, beliau mencadangkan agar pendekatan baharu dalam menangani isu itu perlu dilaksanakan segera agar agenda tersebut mampu dicapai.
"Langkah yang perlu dilakukan adalah dengan menjadikan guru-guru sebagai ahli sokongan SPRM dan kajian tentang program sebelum ini perlu dilihat agar tiada pembaziran tenaga kerana program seperti ini sudah lama diadakan,” katanya.