11 maut nahas bot tenggelam di barat Indonesia

Iklan
Seorang anggota penyelamat meninjau keadaan di laut dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa bot laju yang karam di Kabupaten Indragiri Hilir, Indonesia, 28 April 2023. - Foto AP

SEBUAH bot laju yang membawa sekurang-kurangnya 78 orang karam di barat Indonesia pada Khamis.

Sembilan orang dilaporkan masih hilang di laut pada Jumaat, sementara pasukan penyelamat bertungkus-lumus menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Iklan
Iklan

Seramai 58 penumpang berjaya diselamatkan manakala 11 lagi terkorban dalam nahas tersebut, selepas berjam-jam mereka terapung dalam keadaan laut bergelora.

Menurut Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Pekanbaru, Nyoman Sidhakarya, pasukan penyelamat telah mengeluarkan 11 mayat, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Iklan

Rakaman televisyen tempatan turut menunjukkan penumpang berdiri di atas sebuah bot yang terbalik cuba mencapai sebuah bot nelayan yang dipenuhi dengan individu yang selamat.

Bot Evelyn Calista 01 itu dipercayai membawa penumpang yang pulang dari kampung halaman untuk meraikan Hari Raya bersama keluarga, dan enam anak kapal.

Iklan

Ia tenggelam pada petang Khamis, kira-kira tiga jam selepas berlepas dari pelabuhan di Tembilahan, sebuah bandar di Kabupaten Indragiri Hilir di Wilayah Riau.

Punca nahas masih dalam siasatan, namun bot berkenaan dipercayai terbalik sewaktu berlayar ketika angin kuat.

Usaha mencari dan menyelamat baki mereka yang masih hilang diteruskan pihak berkuasa Indonesia. - Awani