Mohd Salim belum sedia fikir tawaran PN, mahu fokus pada keluarga

Iklan
Mohd Salim

SEREMBAN - Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif yang digantung daripada UMNO mengakui ada menerima tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.

Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini belum bersedia memikirkan soal itu kerana mahu memberi fokus kepada keluarga selepas kematian isterinya pada Februari lalu.

Iklan
Iklan

"Isteri saya baharu saja meninggal. Jadi saya mahu berehat seketika daripada memikirkan soal politik.

"Soal tawaran bertanding itu dah lama, tapi pendirian saya buat masa ini adalah untuk berkecuali dahulu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, selama ini beliau terlalu sibuk dengan politik dan kini waktu untuknya bertenang seketika.

Beliau memberitahu, hatinya juga masih kuat pada UMNO meskipun kesal keahliannya digantung tanpa melakukan apa-apa kesalahan.

Iklan

"ALLAH SWT sudah tentukan perjalanan politik saya begini, saya terimalah. Tapi orang lain tak tahu bagaimana dalam keadaan arwah isteri saya sakit pun, saya masih bekerja keras untuk parti sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut ditawar PN bertanding di Negeri Sembilan.

Mohd Salim antara empat yang diumumkan penggantungan selama enam tahun sebagai ahli UMNO, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada parti itu.