Lebih 25,000 hadir Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kedah

Iklan
Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani pada Sabtu. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Rumah Terbuka Malaysia Madani mencapai objektifnya apabila lebih 25,000 pengunjung di negeri ini hadir memeriahkannya di Hotel Raia dekat sini pada Sabtu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keberangkatan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut mencemar duli menambahkan lagi keceriaan program yang berlangsung selama empat jam itu.

Iklan
Iklan

"Saya yakin bahawa anggaran 25,000 sasaran kehadiran itu tercapai dalam tempoh empat jam majlis rumah terbuka ini. Hidangan makanan di 60 gerai yang disediakan hampir habis walaupun majlis belum berakhir lagi.

"Saya sempat buat tiga pusingan untuk melihat sendiri majlis dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir hari ini," katanya pada sidang akhbar di Hotel Raia, dekat sini pada Sabtu.

Iklan
Saifuddin Nasution

Saifuddin berkata, penganjuran rumah terbuka itu juga mencapai objektif apabila semua pimpinan Kerajaan Persekutuan dapat turun dan bermesra dengan pengunjung yang hadir ke program berkenaan.

Menurutnya, penyediaan menu dan juadah raya secara sederhana juga seperti mi goreng, bihun goreng, sate, lemang ataupun ketupat membuktikan bahawa penganjurannya tidak memakan belanja yang besar.

Iklan

"Majlis rumah terbuka di Kedah ini merupakan program utama Perdana Menteri walaupun ia akan diadakan di lima lagi negeri yang lain dan ingin saya nyatakan bahawa tidak berlaku pembaziran kerana semua makanan habis," ujar beliau.

Jelasnya lagi, kehadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengiringi keberangkatan Sultan Kedah ke rumah terbuka menguatkan semangat ukhuwah dan muhibah walaupun berlainan fahaman politik.

"Kehadiran Menteri Besar Kedah itu sendiri sebagai memenuhi undangan daripada pihak kami.

"Pemimpin-pemimpin politik yang berbeza haluan ini boleh ada platform yang mempertemukan di mana platform seumpama merayakan Aidilfitri seperti ini," tambah Saifuddin.