ALOR SETAR - Seorang ibu kepada empat anak menjahit baju raya baharu untuk dipakai sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia, di sini.
"Saya jahit sendiri baju raya kami sekeluarga untuk dipakai semasa berjumpa Perdana Menteri di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani hari ini (Sabtu),” kata Hadawiyah Abu Hassan dari Alor Setar.
Hadawiyah, 49, berkata, kesemua lima pasang baju raya untuk diri dan empat anaknya yang siap dijahit pada malam Aidilfitri itu terus disimpan dan hanya dikeluarkan dari almari untuk digayakan pada Sabtu.
"Seminggu sebelum raya, saya sudah mula menjahit dan syukur ia dapat disiapkan pada malam raya. Anak-anak teringin untuk memakai baju ini tetapi saya simpan dahulu kerana memang berniat untuk memakainya semasa berjumpa Perdana Menteri nanti.
"Kami sekeluarga harap dapat berjumpa dan bergambar dengan Perdana Menteri kerana ini merupakan peluang seumur hidup, bukan senang mahu berjumpa dengan pemimpin nombor satu negara,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Hadawiyah yang datang bersama empat anak perempuannya yang berusia antara lima hingga 21 tahun itu berkata, dia berharap penganjuran rumah terbuka ini dapat diteruskan kerana ini merupakan salah satu cara Perdana Menteri mendekati dan berjumpa dengan rakyat.
Sementara itu, S.Sivaguru, 48, yang bertolak seawal 8 pagi dari Kulim bersama 15 ahli keluarga dan rakan-rakan berkata, penganjuran rumah terbuka ini sangat bagus dan menunjukkan betapa kerajaan menitikberatkan semangat perpaduan di negara ini.
"Perdana Menteri dapat berjumpa dengan rakyat, kalau buat jauh di Putrajaya, rakyat di Kedah susah dan jauh hendak ke sana... jadi bagus buat di negeri-negeri lain. Saya lihat ini bukan satu pembaziran kerana semua yang datang hari ini dapat makan dan menikmati semua juadah disediakan,” katanya.
Bagi Parusina Faizol, 37, dari Alor Setar yang datang bersama empat anaknya berusia tujuh hingga 16 tahun itu berkata, mereka sekeluarga datang hari ini semata-mata untuk berjumpa dengan Perdana Menteri.
"Selalu dapat tengok di televisyen sahaja, kalau dapat berjumpa dan bergambar hari ini memang ia akan jadi kenangan manis buat kami... tapi kalau dapat tengok dari jauh pun sudah bersyukur.
"Kami juga ‘simpan perut’ untuk menikmati pelbagai juadah yang disediakan, walaupun terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan makanan tidak mengapa. Saya harap majlis ini dapat diteruskan dan ia sangat bagus kerana dapat merapatkan silaturahim antara semua pihak,” katanya. - Bernama