TASHKENT, UZBEKISTAN - Kurang 24 jam daripada sekarang, rakyat negara Asia Tengah itu akan keluar mengundi dalam referendum mengenai draf undang-undang perlembagaan yang mencadangkan perubahan meluas kepada beberapa perkara terutama melibatkan rakyat baik daripada segi ekonomi, akses pendidikan dan kesihatan, hak asasi manusia serta kebebasan beragama.
Berdasarkan tinjauan, rata-rata rakyat negara berkenaan memberikan respons positif terhadap usaha kerajaan pimpinan Presidenya, Shavkat Mirziyoyev.
Ada dalam kalangan mereka bersetuju kerana mahukan hak kebebasan manusia mereka terus dipertahankan baik daripada sudut ekonomi, perumahan dan beragama.
Berdasarkan artikel berkaitan Kronologi Proses Pembaharuan Perlembagaan, perkara teratas menjadi keutamaan ialah memperkukuhkan jaminan melindungi hak dan kebebasan semua warganegara sebaik mereka dilahirkan.
Selain itu, reformasi tersebut akan menjadi tambahan dan kemas kini penting kepada Perlembagaan Uzbekistan sejak meratifikasinya pada 1992.
Reformasi itu juga bakal menjadikan Uzbekistan sebagai sebuah negara berdaulat, demokratik, sosial dan sekular dengan bentuk negara republik.
Berdasarkan kenyataan diberikan, di bawah arahan Suruhanjaya Pembaharuan Perlembagaan Uzbekistan, draf awal telah diterbitkan bagi tujuan perbincangan awam oleh Dewan Legislatif pada 25 Jun tahun lalu.
Perbincangan awam itu melibatkan tiga peringkat iaitu bermula Jun hingga Ogos 2022 dengan lebih 150,000 cadangan daripada penduduk diterima dan 10,000 tambahan cadangan hasil perbincangan bersama kesatuan buruh, pihak universiti, kejiranan, aktivis dan intelektual.
Ia kemudiannya melalui beberapa proses di peringkat Dewan Legislatif dan pada 14 Mac lalu, Senat mengesahkan keputusan dewan berkenaan bahawa pungutan suara akan dijalankan pada 30 April.
Mengikut cadangan pindaan dan penambahan kepada artikel serta peruntukan dalam Perlembagaan Uzbekistan, ia melibatkan 65 peratus perubahan.
Antara perkara lain yang menjadi keutamaan pindaan perlembagaan ini juga ialah pembaharuan kepada badan perundangan, kerajaan dan kehakiman.
Bagi meningkatkan sistem semak dan imbang, Dewan Undangan Majlis Oliy diberikan kuasa membuat keputusan berdasarkan kepada sokongan dua pertiga daripada jumlah bilangan Timbalan Dewan Legislatif atau ahli Senat.