Nazim sekadar tempat kelima pada pusingan pertama

Iklan
Nazim ketika ditemu bual pada perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia 2023 Race 1 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Bernama

PEMANDU muda negara, Nazim Azman yang membuat penampilan sulung di Piala Porsche Carrera Asia 2023 terpaksa akur apabila hanya meraih tempat kelima pada perlumbaan pusingan pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), malam ini.

Nazim, 21, yang bersaing dalam PCCA PRO menggunakan jentera Porsche 911 GT3 dengan kerjasama Earl Bamber Motosport (EBM) itu mengakui sukar mengekalkan momentum apabila pesaingnya memiliki pengalaman luas selain terpaksa berlumba pada waktu malam.

Iklan
Iklan

"Perlumbaan sangat berbeza di Piala Porsche Carrera (berbanding dengan Formula 3 (F3) terutamanya pada waktu malam. Ini adalah cabaran baharu kerana saya tidak pernah mengalaminya jadi agak sukar apabila kereta boleh mengikut rapat dan pemandu di sini sangat berbakat dan agresif," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan itu.

Nazim yang mempunyai pengalaman sebagai pelumba F3 pada tahun lepas itu merekodkan 2 minit 16.196 saat (s) untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima pada pusingan pertama dan akan meneruskan saingan pada pusingan kedua esok.

Iklan

Perlumbaan pusingan pertama membabitkan 19 pelumba dimenangi Luo Kailuo mewakili Toro Racing dengan catatan masa 2:12.239s manakala tempat kedua milik Martin Ragginger (Porsche Holding) setelah merekodkan 2: 12.679s.

Tempat ketiga pula diduduki pelumba Team Shanghai Yongda iaitu Chris Van Der dengan catatan 2:12.672s.

Iklan

Mengikut rekod, Malaysia diberi penghormatan untuk membuka tirai perlumbaan 2023, yang seterusnya akan bersambung di Korea Selatan, Jepun, Thailand, Singapura sebelum berakhir di pangkalan Porsche Motorsport Asia Pasifik di Shanghai, China.

Perlumbaan terbabit akan kembali ke Malaysia untuk pusingan 9 dan 10 pada 25 hingga 27 Ogos depan serta pusingan 3 Siri Kejohanan Malaysia. - Bernama