Sedih ada ahli keluarga anggap anak autisme kena 'badi' - Ibu

Iklan
Noorosenaini sentiasa memberi semangat kepada Aiman untuk melakukan perkara yang menjadi minatnya.

KOTA BHARU - Dikurniakan anak yang menghidap autisme tidak menjadi halangan untuk Noorosenaini Majid, 55, belajar menjadi ibu yang lebih penyabar dan sentiasa positif.

Noorosenaini yang pernah menjadi kakitangan Petronas sanggup berhenti kerja kerana mahu menumpukan perhatian kepada Ahmad Aiman Kaisan, 22, selain mengikut suami yang berpindah ke Kelantan ketika itu.

Iklan
Iklan

Menurut Noorosenaini, selepas Ahmad Aiman Kaisan atau lebih mesra dipanggil Aiman diagnosis autisme pada 2004, ramai ahli keluarga terdekat tidak boleh menerima kenyataan itu.

"Ketika itu, saya sendiri tidak memahami penyakit berkenaan dan tiada pengetahuan mengenainya.

Iklan

"Ada keluarga yang menganggap Aiman cacat dan lebih menyedihkan mereka menganggap anak saya terkena badi," katanya.

"Bagaimanapun, dalam kesukaran itu, saya cuba 'memecahkan tembok' itu dengan berjumpa doktor pakar dan mencari cara untuk memberi penjagaan terbaik supaya Aiman tidak terpinggir," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapang di sini.

Iklan
Aiman (kanan) ketika bekerja di sebuah syarikat tahun lalu.

Lebih menguji kesabaran apabila suaminya meninggal dunia lapan tahun lalu ketika Aiman berusia 14 tahun.

Jelas Noorosenaini, Aiman yang rapat dengan bapanya kerap bertanya mengenai 'kehilangan' orang yang disayangi itu tetapi dia mengambil pendekatan tetap berlembut dan memberi penerangan dalam perkataan ringkas untuk kefahaman Aiman.

"Seorang yang autisme akan memberontak jika tidak kena dengan perkara yang diinginkan malah mereka akan menjadi lebih agresif," katanya.

Ibu kepada empat anak berusia 15 hingga 28 tahun itu juga memberitahu tidak mahu anaknya terkongkong kerana sikap masyarakat yang memandang rendah golongan autisme.

Sebagai ibu, dia tidak jemu berusaha mengubah jadual dan pemakanan Aiman supaya anaknya dapat bergaul dalam komuniti tanpa rasa tersisih.

Dia turut berkongsi memasak menu kerutuk daging setiap hari selama tiga tahun kerana ia menjadi kegemaran Aiman.

"Bagaimanapun, saya nekad mahu mengubah kehendaknya walaupun dengan cara memujuk supaya dia tidak menangis dan agresif.

"Akhirnya saya berjaya dan Aiman kini tidak lagi memilih menu tertentu malah gembira menikmati apa sahaja hidangan," katanya.

Lebih membanggakan katanya, Aiman juga boleh bekerja dan lebih komited daripada pekerja normal kerana sentiasa bergerak mengikut jadual.

Ditanya bagaimana dia boleh mengasuh Aiman sehingga anak itu lebih tenang ketika membesar dan boleh berdikari, Noorosenaini memberitahu, sikap ibu bapa dan ahli keluarga penting untuk masa depan golongan itu.

"Saya membiasakan diri bercakap secara lemah-lembut dan mengingatkan adik-beradiknya supaya tidak bercakap kasar dan lebih perlahan daripada suara Aiman.

"Selain itu, ketika dia masih kecil saya sudah memikirkan cara hidupnya yang perlu bersama persekitaran dan komuniti. Saya tidak mahu menyembunyikannya di rumah," katanya.

Ceritanya lagi, ketika Aiman berusia 10 tahun, dia mula mengajar anaknya sahsiah dan agama iaitu mencium tangan ibu bapa, adik-beradik, membaca doa dan al-Quran.

"Itu sudah menjadi rutin seharian Aiman selain menutup pagar rumah, menutup pintu dan dia kini sudah boleh berdikari sepenuhnya," katanya.

Aiman (kiri) bersama penyanyi Aiman Tino

Nenek kepada seorang cucu ini juga mengakui tidak malu berdepan masyarakat dan berkongsi cerita mengenai anak ketiganya itu kerana ilmu berkenaan bermanfaat untuk ibu bapa yang mempunyai anak autisme.

Kesungguhan itu juga antara faktor Noorosenaini dipanggil untuk berkongsi pengalaman bersama kumpulan ibu bapa yang mempunyai anak autisme selain bekerjasama dengan doktor pakar dalam bidang itu.

Bukti kesungguhan Noorosenaini mahu memastikan anak istimewanya itu menikmati momen indah dalam hidup, dia melayan minat anak terhadap muzik.

"Aiman juga suka menyanyi dan kami tidak melepaskan peluang bertemu artis-artis popular, antaranya Fazura dan Fattah Amin, Aznil Nawawi, Fizo Omar Wany Hasrita, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini.

Noorosenaini berharap ibu bapa yang mempunyai anak autisme bersabar dan dapat mengubah mereka menjadi lebih tenang demi masa depan mereka.