Remaja Bangladesh ditemui dalam kontena di Malaysia, meninggal dunia

Iklan
Remaja berkenaan dijumpai di dalam kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Januari lalu.

REMAJA lelaki Bangladesh yang dihantar pulang pada Februari lalu selepas ditemui dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, dilaporkan meninggal dunia berhampiran rumahnya.

Ratul Islam Fahim lemas semasa mandi seorang diri di kolam berhampiran rumahnya di Monohargonj, daerah Cumilla semalam, kata polis, lapor Bdnews24.Com.

Iklan
Iklan

Bapanya, Faruk Mia, memberitahu polis bahawa Ratul yang mempunyai masalah mental itu tidak tahu berenang.

Faruk berkata, Ratul mandi seorang diri kerana semua orang keluar ke sawah untuk menuai padi.

Iklan

"Bagaimana saya boleh hidup selepas ini?" katanya mengenai anak sulung daripada tiga beradik itu.

Menurut Bdnews24.Com, Ratul telah dikebumikan tanpa melalui proses bedah siasat selepas keluarganya mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Iklan

Laporan itu turut menyebut, pihak berkuasa berjanji untuk menjalankan siasatan menyeluruh ke atas insiden tersebut.

Kisah remaja berusia 16 tahun ini menarik perhatian media antarabangsa terutama Malaysia selepas dia ditemui dalam kontena yang diturunkan dari sebuah kapal di Westports di Pelabuhan Klang pada 17 Januari lalu.

Dia dilaporkan bertahan hidup selama enam hari tanpa makanan atau minuman.

Dia memberitahu pihak berkuasa bahawa dia sedang bermain dalam kontena dengan kawan-kawan di Chittagong tetapi kemudian terkunci di dalamnya.

Ratul kemudian dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang sebelum ditempatkan di sebuah pusat jagaan sementara.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) kemudian membantu menguruskan dokumennya dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia sebelum dihantar pulang pada 22 Februari lalu. - Awani