Malaysia buru 40 emas di Sukan SEA Kemboja

Iklan
Hannah bergambar bersama barisan atlet negara pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan SEA ke-32 Kemboja 2023 di Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. - Foto Bernama

KONTINJEN Malaysia diletakkan sasaran untuk memenangi 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa di temasya Sukan SEA Kemboja yang akan membuka tirainya pada 5 Mei ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sasaran itu ditetapkan selepas sesi libat urus membabitkan Majlis Sukan Negara serta Majlis Olimpik Malaysia bersama semua persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang bertanding di Sukan SEA kali ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sasaran itu juga dianggap realistik melalui data terkini kemampuan atlet-atlet pesaing dari negara-negara yang bertanding.

"Turut diambil kira ialah keputusan negara penganjur tidak menyenaraikan 57 acara daripada Sukan SEA Vietnam tahun lalu yang menyaksikan kontinjen negara hilang 18 pingat emas, 16 perak dan 30 gangsa.

Iklan

"Kita bagaimanapun percaya bahawa akan ada atlet-atlet yang mampu mencipta kejutan dan tidak mustahil menambah jumlah pungutan pingat keseluruhan untuk kontinjen Malaysia dari Cambodia kali ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja pada Ahad.

Untuk rekod, dalam edisi Sukan SEA di Vietnam tahun lalu, Malaysia memungut 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Iklan

Hannah berkata, kontinjen Malaysia kali ini akan mengambil bahagian dalam 33 daripada 36 jenis sukan yang dipertandingkan.

"Daripada segi jumlah acara, kontinjen Malaysia akan hanya mengambil bahagian dalam 340 acara ataupun hanya 58.42 peratus daripada keseluruhan 582 acara yang dipertandingkan.

"Ia bermakna, kontinjen Malaysia tidak akan bersaing dalam perebutan 242 pingat emas, perak dan gangsa yang dipertandingkan kali ini.

"Ia kerana acara-acara sukan yang tidak disertai itu adalah daripada sukan-sukan pilihan tuan rumah dan jenis sukan yang asing untuk kontinjen negara seperti sukan arnis, vovinam, kun b0kator dan beberapa jenis sukan lainnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kontinjen Malaysia ke Sukan SEA kali ini melibatkan 928 anggota kontinjen terdiri daripada 677 orang atlet dan 251 orang pegawai.

"Seramai 440 atlet daripada jumlah keseluruhan 677 atlet iaitu sebanyak 65 peratus bakal membuat penampilan pertama di temasya Sukan SEA ini.

"Daripada jumlah keseluruhan atlet yang mewakili kontinjen Malaysia juga seramai 387 orang atau 56.33 peratus, merupakan atlet-atlet yang berusia di bawah umur 23 tahun.

"Sukan olahraga menyaksikan penyertaan jumlah teramai ke Kemboja iaitu seramai 65 atlet dan 21 orang pegawai. Selain itu, 262 atlet dan 90 pegawai adalah daripada tujuh acara berpasukan di Sukan SEA kali ini," katanya.