IDDUKI - Pegawai perhutanan India berjaya menenangkan dan menempatkan semula seekor gajah liar yang gemar makan beras dan setakat ini telah membunuh enam orang.
Gajah jantan yang digelar 'Arikomban' terkenal kerana kerap menyerbu kedai menjual beras dan bijirin di selatan negeri Kerala.
Pada Sabtu lalu, sebuah pasukan terdiri 150 pegawai perhutanan berjaya menangkap haiwan itu walapun ditembak dengan lima das ubat penenang.
Akhirnya, gajah yang ditutup mata dan kaki diikat dengan kain berjaya ditolak masuk ke dalam trak oleh empat ekor gajah terlatih selepas haiwan itu pengsan.
Kemudian, ia dipasang dengan kolar GPS dan dibawa ke rizab hidupan liar untuk operasi pemantauan.
Difahamkan, ia bukan kali pertama pegawai menangkap gajah yang berusia 30 tahun itu.
Arikomban pernah terkena ubat penenang pada 2017, tetapi berjaya melarikan diri.
Bulan lalu, pegawai perhutanan mendirikan kedai menjual beras yang palsu untuk memerangkap gajah yang menyukai beras, namun tindakan itu dihalang mahkamah yang mengarahkan idea itu dihentikan serta merta.
Menurut kerajaan, India adalah rumah kepada lebih daripada enam puluh peratus gajah Asia liar. - AFP