Amanah mohon maaf lukakan UMNO

Iklan
Zahid (dua dari kiri) bersama Salahuddin (dua dari kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Sri Satria pada Ahad.

PUTRAJAYA - Parti Amanah Negara (Amanah) memohon maaf kepada UMNO berhubung kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Abdul Samad baru-baru ini mengenai isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, permintaan maaf berkenaan dibuat susulan ia telah melukakan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan tersebut.

Iklan
Iklan

"Sempena Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah memohon maaf atas kenyataan yang baru-baru ini dikeluarkan Pengarah Komunikasi, sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan UMNO maka kami minta maaf.

"Jadi kita iltizam untuk perkukuhkan jentera, ukhuwah, kekuatan parti kita bersama Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang diadakan di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria di sini pada Ahad.

Iklan

Pada Ahad, Khalid menyatakan UMNO perlu menghormati pendirian Amanah mengenai isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Khalid menegaskan, dasar hormat-menghormati dan kesepakatan untuk memelihara negara perlu diberi keutamaan berbanding perbezaan pendapat berhubung isu-isu khusus seperti pembebasan bekas Presiden UMNO itu.

Iklan

Sebelum ini, Khalid memaklumkan Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya permohonan pengampunan Najib ditolak.

Dalam pada itu, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berharap isu tersebut dapat diselesaikan dan beliau sendiri sudah berjumpa dengan Presiden UMNO serta timbalannya.

Ujarnya, perkara itu seharusnya diselesaikan dengan baik untuk sama-sama menyelesaikan dan bergerak ke hadapan demi perpaduan negara dan rakyat.

"Sebarang keterlanjuran itu biasalah bagi orang politik, kadang-kadang kita terlanjur dan tidak ada malu untuk kita memohon maaf sekiranya ia melukakan," ujarnya.