PENYANDANG juara Manchester City akhirnya kembali menerajui Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak Februari selepas menang 2-1 ke atas Fulham di Craven Cottage, London pada Ahad.
Pada masa sama bintang City, Erling Haaland turut melakar satu lagi pencapaian luar biasa apabila hanya mengambil masa tiga minit untuk menjaringkan gol ke-34 liga bagi menyamai rekod penampilan musim pertamanya selepas menyempurnakan sepakan penalti.
Iklan
Iklan
Pencapaian itu menaikkannya setaraf dengan rekod musim penampilan pertama liga Alan Shearer dan Andy Cole.
Pemain Norway itu juga menjadi pemain pertama dalam liga utama England yang menjaringkan 50 gol dalam semua pertandingan dalam satu musim sejak Tom Waring melakukannya untuk Aston Villa pada 1931.
Bagaimanapun City diikat semula pada minit ke-15 apabila Carlos Vinicius melepaskan rembatan menewaskan Ederson.
Percubaan Jack Grealish dinafikan palang sebelum penyerang Argentina, Julian Alvarez menewaskan Bernd Leno untuk kemenangan liga kelapan berturut-turut.
Manchester City kini menduduki tempat teratas dengan 76 mata berbanding Arsenal 75 dan juga mempunyai satu perlawanan dalam tangan manakala Fulham kekal di tempat ke-10.