Kembali bangkit selepas FB, IG digodam

Iklan
Khairunnisa memulakan perniagaan secara dalam talian sebelum membuka butik di Bangi pada 2021.

BANGI - Dugaan akaun media sosial Facebook dan Instagram digodam hingga jualan dalam talian merudum tidak mematahkan semangat seorang usahawan pakaian wanita untuk kembali bangkit.

Bertitik-tolak daripada situ, pengasas jenama pakaian Carlanisa, Khairunnisa Hassan yang hanya berniaga dalam talian sejak 2016 mula membuka butik sendiri pada 1 April 2021.

Iklan
Iklan

Khairunnisa berkata, pengalaman akaun media sosial digodam itu hampir melumpuhkan bisnesnya kerana majoriti 40,000 pengikut Facebook dan Instagram adalah pelanggan setianya.

"Penggodam turut ugut kami dengan minta wang RM40,000 jika kami mahukan semula akaun Facebook dan Instagram itu. Jadi kami reda, terpaksa bermula dari bawah semula sebelum dapat buka butik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di butiknya di sini.

Iklan
Khairunnisa dan Muhammad Waqas bersama koleksi pakaian songket dan sulam songmet di butik mereka di Bangi.

Peristiwa itu juga ibarat ujian bertimpa buat Khairunnisa, 36, dan suaminya yang juga Pengarah Urusan Carlanisa, Muhammad Waqas Muhammad Afzal, 37, kerana ketika itu bisnes sudah perlahan ekoran negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Khairunnisa yang juga ibu kepada tiga cahaya mata memberitahu, percubaan membuka premis perniagaan sendiri itu merancakkan lagi perniagaan mereka kerana pelanggan dapat melihat sendiri fabrik pakaian yang dijual.

Iklan

"Kelebihan bila buka kedai, pelanggan dapat pegang dan tengok sendiri kain pakaian sebab kalau hanya tengok dalam Facebook dan Instagram mereka tak dapat rasa kualiti fabrik,” ujarnya.

Butik Carlanisa menjual pakaian wanita sedia untuk dipakai atau ready to wear berkonsep tradisional bermotifkan songket dan pakaian fabrik kapas bersulam bermotif songket yang jika dipandang ia juga kelihatan tidak ubah seperti kain tenunan songket.

Pakaian berkenaan didatangkan dalam rekaan baju kurung moden dan kurung riau yang mempunyai dua jenis potongan saiz iaitu saiz standard daripada saiz XS hingga XXXL dan ‘slim fit’ (XS - XXL).

Khairunnisa menjelaskan, butiknya mengangkat busana songket termasuk menerusi koleksi Aidilfitri tahun ini bagi memperluaskan pemakaian fabrik tradisional tersebut dalam kalangan masyarakat moden hari ini.

Pakaian songket di Butik Carlanisa mendapat permintaan hangat.

"Seperti yang kita tahu songket masih dipakai hingga sekarang tapi biasanya digayakan pada waktu tertentu seperti semasa majlis perkahwinan kerana ia nampak cantik, mewah dan klasik.

"Sebab itu kita modenkan songket ini dari segi kombinasi warna yang boleh menaikkan pesona motif songket berkenaan selain kita turut reka pakaian sulam bermotif songket yang diperbuat daripada fabrik kapas,” tambahnya.

Katanya, sebanyak 8,000 pasang baju kurung moden serta baju kurung riau songket dan sulam kapas dikeluarkan Carlanisa menerusi koleksi Syawal tahun ini.

Sebagai strategi melariskan lagi jenama itu di pasaran, Muhammad Waqas memaklumkan,

Carlanisa yang mempunyai butik pakaian di Bangi dan cawangan kedai di bahagian Tempat Orang Lokal (TOL) Kompleks PKNS Shah Alam merancang untuk membuka cawangan kedai di Johor selain sedang giat mencari stokis di setiap negeri.