SERI KEMBANGAN - Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah-langkah penstrukturan semula pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pembubaran tiga pasukan tindakan khasnya disasar untuk menambahbaik prestasi pasukan itu, di samping mengelak pertindihan fungsi di kalangan unit-unit serta pasukan tindakan khasnya.
Pasukan yang dibubarkan terdiri daripada Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangesterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) bertujuan bagi menstruktur semula PDRM ke arah yang lebih baik.
"Tindakan dibuat PDRM itu (pembubaran) selaras dengan usaha-usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan, kerana kita dapati kalau ada pertindihan fungsi-fungsi di dalam badan-badan terbabit maka ia (pasukan) tak wajar diteruskan.
"Kita yakin dengan ‘alignment’ yang baharu ini peranan PDRM akan lebih cekap dan berkesan," katanya pada majlis penyerahan sumbangan oleh Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) di sini hari ini.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga pengasas TSMCG turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM50,000 kepada 10 persatuan kebajikan yang memerlukan antaranya Yayasan Orang Buta Malaysia, Rumah Kebajikan Karunai Illam dan Persatuan Microtia Atresia Malaysia.
Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilapor berkata, sehingga kini kira-kira 60 peratus arahan pertukaran kepada pegawai serta anggota pasukan berkenaan sudah dikeluarkan secara berperingkat.
Menurut Mohamad Fuzi pembubaran pasukan itu masih belum selesai sepenuhnya kerana ia tidak boleh dilakukan secara sembarangan serta memerlukan waran untuk melakukan penstrukturan semula.
Sementara itu semasa mengulas statistik baharu yang dikeluarkan oleh badan penyelidik bebas yang merumuskan bahawa rating kerajaan Pakatan Harapan merosot kepada 39 peratus daripada 79 peratus antara 21 Mei lepas dan 11 Mac tahun ini, Muhyiddin berkata PH akan mengambil perhatian serius mengenai perkara itu.
"Kita tahu rating tidak berapa baik, tapi masih ada banyak masa untuk kita bangunkan semula kedudukan kita dan meningkatkan prestasi. Ada banyak juga yang telah dilakukan kerajaan PH dan kita masih perlu menangani isu-isu serta masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan tedahulu,” tambahnya.- Bernama