KUALA LUMPUR - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berpandangan Lembaga Pengampunan harus menolak permohonan petisyen pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap hukuman penjara dan denda.
Jawatankuasa Eksekutit Pusat Muda menegaskan, ia merupakan pendirian rasmi parti itu yang membantah sebarang gerakan untuk menyelamatkan mana-mana kleptokrat yang telah menyusahkan dan menggadai negara.
Menurutnya, Muda juga tidak akan memohon maaf atas pendirian itu.
"Sekali lagi kami ingin menjelaskan bahawa ini adalah pendirian rasmi parti dan bukan pandangan atau pendapat peribadi individu di dalam parti.
"Kami tidak bercadang untuk memohon maaf atas pendirian ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, pengampuan ke atas Najib yang didapati bersalah bakal memberikan mesej yang salah kepada rakyat Malaysia.
*Adakah rakyat biasa yang didapati bersalah atas jenayah yang sama adakah mereka juga akan diberi keistimewaan ini?
"Pengampunan ke atas Najib tatkala beliau sahaja menjalankan hukuman akan membawa mesej bahawa mana-mana individu berpengaruh, mempunyai hubungan kuasa tidak perlu gusar dengan undang-undang.
"Ini bercanggah dengan prinsip rukun negara iaitu kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.
Kenyataan itu menambah, parti itu akan terus memerangi mana-mana gerakan yang mahu menyelamatkan kleptokrat termasuk pihak-pihak yang cuba mencabar integriti badan kehakiman negara.
Semalam Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub memohon maaf kepada UMNO di atas keterlanjuran kenyataan dikeluarkan Khalid Abdul Samad berhubung pengampunan Najib, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid mengesahkan Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 28 April lalu tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan yang difailkan bekas Perdana Menteri itu. - Awani