PEMAIN sensasi, Erling Haaland berada dalam kelas tersendiri apabila memecahkan rekod jaringan berusia 92 tahun ketika membantu Manchester City menewaskan Fulham 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Penyerang Norway itu meledak gol pembukaan The Citizens pada minit ketiga untuk menjadi pemain pertama dalam liga tertinggi Inggeris menjaringkan 50 gol dalam semua pertandingan sejak tahun 1931.
Tom 'Pongo' Waring menjaringkan 50 gol untuk Aston Villa dalam semua pertandingan pada musim 1930/31.
Setahun sebelum itu, legenda West Ham, Vic Watson juga menyumbat 50 gol untuk pasukannya.
Haaland turut berpeluang memburu rekod 63 gol jaringan Dixie Dean untuk Everton pada tahun 1928.
"Tahniah buat Erling. Matlamat utama untuk membantu kami mencapai apa yang pasukan impikan (kejuaraan),” ujar jurulatih City, Pep Guardiola.
Pada aksi di Craven Cottage itu, Julian Alvarez meledak gol kemenangan City, manakala gol saguhati Fulham hasil jaringan Carlos Vinicius.
Jaringan Haaland itu turut menyamai rekod Alan Shearer dan Andy Cole untuk gol terbanyak dalam satu musim EPL.
Shearer meledak 34 gol untuk Blackburn pada tahun 1995 dan Cole melakukannya untuk Newcastle pada tahun 1994.
City yang masih memburu tiga kejuaraan musim ini berada di takhta liga buat kali pertama dalam tempoh 10 minggu selepas menang lapan aksi terakhir liga dan belum kalah dalam 18 aksi terakhir mereka.
The Citizens yang bermain kurang satu perlawanan berbanding Arsenal, perlu menang lima daripada baki enam perlawanan untuk mengesahkan gelaran kelima dalam enam musim.