Kerajaan jamin kaji semula gaji penjawat awam

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Pekerja 2023 yang bertemakan ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’ di PICC hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan menilai dan mengkaji semula gaji penjawat awam yang disifatkan masih tidak memuaskan ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian itu membabitkan pekerja gred rendah dan menengah dalam sektor itu.

Iklan
Iklan

"Saya memang tahu upah penjawat awam tidak memuaskan (jadi) sudah tiba masanya kita buat penilaian dan kajian semula.

"Ini jaminan saya dan kita akan bagi komitmen," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Iklan

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan berkonsepkan Malaysia Madani diterajuinya sentiasa memastikan hak pekerja termasuklah penjawat awam sentiasa diutamakan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan ketika ini berdepan 'kesulitan' berikutan beban hutang yang tinggi.

Iklan

"Kita ambil alih (negara) dalam (keadaan) kewangan yang sangat parah. Sebahagiannya kerana iklim ekonomi, sebahagian lainnya adalah kerana rompakan (rasuah).

"Jadi, sebab itulah kita mahu pekerja bersama-sama dengan kerajaan untuk perangi rasuah," katanya.