KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bersempena sambutan Hari Pekerja, beberapa menteri kabinet hari ini mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan pekerja dalam semua sektor bagi membangunkan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan di Facebook hari ini berkata, bagaimanapun terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan bersama.
"Sempena sambutan Hari Pekerja pada tahun ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja di semua sektor yang telah menyumbang kepada pembangunan dan kejayaan Malaysia seperti mana hari ini.
"We have a lot more to do, and we have to do it together (Banyak perkara yang perlu kita lakukan, dan kita perlu lakukan bersama-sama). Terima kasih atas sumbangan anda semua dan teruskan usaha ke arah membina Malaysia Madani. Selamat Hari Pekerja kepada semua,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata, Hari Pekerja adalah hari untuk mengingati dan menghargai sumbangan golongan pekerja yang banyak menyumbang ke arah memberikan khidmat terbaik demi keselesaaan dan kesejahteraan rakyat, sekali gus membantu dalam menjana ekonomi dan memakmurkan negara.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas dedikasi dan khidmat bakti semua pekerja baik di sektor awam, swasta, mahu pun yang bekerja sendiri. Terima kasih kerana telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara tercinta.
"Kepada mereka yang masih berkhidmat tak kira di sektor awam, mahu pun swasta, teruskan semangat untuk bekerja dengan lebih baik dan penuh dedikasi demi Malaysia Madani. Negara kita, tanggungjawab kita... sama-sama kita memberikan yang terbaik demi rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu yang turut berterima kasih kepada golongan pekerja berkata semua pihak perlu terus berkerja keras untuk membangunkan negara termasuk dalam bidang pertanian bagi menjamin sekuriti makanan negara.
"Ucapan terima kasih kepada semua di atas usaha dan penat lelah membangunkan negara ini sehingga menjadi sebuah negara yang maju, aman dan damai serta dihormati dunia.
"Buat para petani, nelayan, penternak serta seluruh pekerja dalam sektor pertanian, bekerjalah dengan bersungguh-sungguh. Apa yang kita sedang lakukan hari ini adalah fardu kifayah dan insya-Allah pastinya akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT,” katanya.
Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja yang berkhidmat dengan penuh amanah dan dedikasi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pula berkata, golongan pekerja menjadi sebahagian besar penyumbang kepada ekonomi negara selain menghargai penat lelah golongan itu.
"Saya mengagumi iltizam rakyat Malaysia yang terus menjadi penggerak ekonomi negara, bergembleng tenaga dalam memastikan Malaysia yang kita cintai ini terus membangun dan kompetitif di persada antarabangsa,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, umat Islam dituntut untuk tekun dalam setiap pekerjaan yang dilakukan manakala Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pula berkata, Hari Pekerja adalah pengiktirafan kerajaan kepada dedikasi, sumbangan dan kejayaan warga pekerja di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula menyifatkan golongan pekerja adalah tulang belakang kepada pembinaan negara bangsa dan Kerajaan Perpaduan melalui gagasan Malaysia Madani menurutnya akan terus komited dengan pelbagai pembaharuan serta inisiatif bagi memastikan pengorbanan, jerih perih golongan pekerja sentiasa terbela.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pada separuh pertama tahun ini, kerajaan telah melaksanakan beberapa misi diplomatik dan lawatan ke China menyaksikan kejayaan menandatangani kerjasama perdagangan berjumlah RM170 bilion.
"Mari kita menghargai dan memuji kerja keras rakyat Malaysia, memimpin jalan menuru seterusnya untuk kita berani dan cekal.
"Melihat kepada keadaan semasa, negara kita akan memasuki era baharu tidak lama lagi. Sehubungan itu, saya menggesa seluruh ahli industri, daripada peringkat pengurusan hingga pekerja untuk meneruskan kecemerlangan dalam memupuk kecekapan. Ini akan memacu negara untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya. - Bernama