Seragamkan tambang teksi, e-hailing

Iklan
Asad (dua dari kiri) bersama barisan kepimpinan Gabungan Persatuan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Lapangan Terbang Sabah, Sarawak dan Labuan.

KOTA KINABALU - Gabungan Persatuan Teksi, Kereta Sewa, Limosin Lapangan Terbang Sabah, Sarawak dan Labuan mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu pengusaha kekal dalam industri.

Setiausahanya, Asad Hanapi berkata, antara inisiatif yang diharapkan adalah pelaksanaan penyeragaman harga tambang teksi dan perkhidmatan e-hailing di Borneo.

Iklan
Iklan

"Kami pemain industri memohon kerajaan untuk menyeragamkan tambang pengangkutan awam terutama di Borneo kerana harga tambang merupakan isu bagi kedua-dua industri teksi dan e-hailing.

"Jika kedua-dua tambang dapat diselaraskan, terpulang kepada pengguna untuk menggunakan mana-mana perkhidmatan dan ini memberi persaingan yang adil kepada kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Katanya lagi, bagi melaksanakan penyeragaman harga tambang, kerajaan juga dicadang untuk membina satu aplikasi untuk tujuan itu.

"Pihak gabungan merayu agar pihak berkuasa dapat menyeragamkan tambang pengangkutan awam bagi teksi dan e-hailing di bawah satu aplikasi sama," ujarnya.

Iklan

Asad dalam pada itu berkata, kerajaan juga diharap dapat menilai semula atau melaksanakan pindaan peraturan dan undang-undang bagi kesamarataan peraturan dalam industri berkenaan.

"Ini termasuk memansuhkan meter dengan menggunakan Sistem Pengganti Meter tersebut," katanya.

Katanya, industri teksi mungkin akan lumpuh jika perkara yang dicadangkan tidak diambil perhatian dan beliau yakin tidak mustahil ia mampu dilaksanakan oleh kerajaan.

"Sebelum pandemik, dianggarkan ada hampir 10,000 ahli daripada 23 persatuan membabitkan pemandu teksi, kereta sewa, limosin di Borneo tetapi kini untuk Kota Kinabalu saja kita ada kurang daripada 100 pemandu teksi.

"Industri ini mungkin akan lumpuh jika tiada inisiatif dilaksanakan. Kami sedar bukan mudah untuk kerajaan termasuk pelaksanakan penyeragaman harga tambang. Tetapi jika betul mahu dilaksanakan, tiada yang mustahil," katanya.