LIVERPOOL perlu berterima kasih kepada Diogo Jota kerana meledak gol saat akhir ketika membantu The Reds meraih kemenangan berharga ke atas Tottenham Hotspur 4-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin.
Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu dilihat berpeluang meraih kemenangan mudah apabila menguasai perlawanan menerusi tiga jaringan dalam tempoh 15 minit hasil sentuhan Curtis Jones, Luis Diaz dan Mohamed Salah.
Tottenham bagaimanapun mempamerkan kebangkitan hasil jaringan Harry Kane dan Son Heung-min sebelum Richarlison menyamakan kedudukan pada minit ketiga waktu kecederaan.
Bagaimanapun skrip berubah pada penghujung aksi apabila Jota memanfaatkan kesilapan hantaran Lucas Moura untuk meledak gol kemenangan Liverpool.
'Drama' itu berlaku berselang 99 saat selepas Spurs menyamakan kedudukan.
"Ini satu hari untuk diingati, terutama buat saya. Gol kemenangan sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa,” ujar Jota.
Pemain berusia 27 tahun itu turut menyifatkan Liverpool sudah kembali ke tahap terbaik selepas meraih empat kemenangan berturut-turut.
"Ia berasa amat hebat dan kami hanya perlu meneruskannya.
"Kami menyukarkan diri sendiri. Selepas mendahului 3-0, kami perlu mengelakkan situasi seperti ini berulang, namun akhirnya kami menang.
"Semua orang mengimpikan untuk menjaringkan gol kemenangan minit terakhir. Saya dapat lihat bola tidak dikawal dengan baik oleh pertahanan. Saya percaya boleh membuat jaring dan ia menjadi amat luar biasa,” katanya.