KOTA BHARU - Muktamar Tahunan Pas Pusat ke 69 yang sepatutnya diadakan pada 3 hingga 5 Mei ini di Kelantan ditangguhkan bagi memberi laluan kepada persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, susulan itu pihaknya menjangkakan muktamar itu akan berlangsung pada Ogos atau September ini.
"Jika dilihat pada tahun lepas kita adakan muktamar pada bulan September.
"Kalau buat pada Oktober sekali pun ia belum terlewat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Badaraya Islam (MPKB-BRI) dekat sini pada Isnin.
Menurutnya, sebanyak 197 kawasan di seluruh negara sudah selesai mengadakan mesyuarat agung termasuklah pemilihan.
Ujarnya, bagaimanapun diperingkat pusat seperti Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat serta Pas pusat belum lagi mengadakan muktamar dan pemilihan.
Takiyuddin memberitahu, setakat ini pihaknya belum nampak sekiranya ada perubahan pada pucuk pimpinan.
"Ini kerana kepimpinan yang ada sekarang diterima. Saya tidak nampak apa-apa perubahan dari segi kepimpinan Pas," ujarnya.