KUALA KRAI - Penduduk Kampung Pasir Era di sini bimbang hakisan mengakibatkan kawasan sungai melebar manakala tebing sungai semakin hampir ke rumah mereka.
Mereka mendakwa, keadaan itu juga ditambah aktiviti mengorek pasir dan kemarau berterusan.
Penduduk, Nazira Abd Ghani, 47 berkata, hakisan mengakibatkan tebing yang landai menjadi lebih tinggi dan turut menyebabkan tebing berdekatan rumahnya hanya sejauh 70 meter sahaja.
Bagaimanapun katanya, perubahan itu memberi peluang orang ramai mengail ikan, berkhemah dan berkelah terutama pada cuti hujung minggu.
"Suasana juga meriah dengan kanak-kanak bermain bola dan ramai penduduk daripada luar kawasan ini datang untuk berkhemah pada waktu malam," katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Kuala Nal, Abdul Samad Che Yajid berkata, keadaan hakisan bertambah teruk sejak banjir pada tahun 2014.
Jelasnya, air sungai yang menurun menyebabkan wujud permukaan dasar sungai sejauh dua kilometer dan ia menjadi perkara biasa kepada penduduk kampung.
Menurut beliau, ketika ini ramai yang datang memancing ikan dan udang selain memasang khemah secara berkumpulan.
"Biasanya penduduk akan mengambil peluang melalukan aktiviti bersama keluarga dengan memancing dan berkelah," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Era di sini.
Tambah beliau, air sungai ini pernah mengering sehingga ke pengkalan feri pada 1990-an tetapi ketika itu feri belum beroperasi.