Pengampunan Najib tidak dibincang pada mesyuarat Jumaat lepas

Iklan
Khairul Dzaimee

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kertas rayuan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud setelah Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya melakukan bersidang pada Jumaat lalu di Istana Negara.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Lembaga Setiausaha Pengampunan itu berkata, setelah persidangan, sebanyak 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000 telah dipertimbangkan.

Bagaimanapun tambahnya, kertas rayuan pengampunan Mohd Najib tidak dapat dibawa pada mesyuarat tersebut.

Iklan

"Mengikut Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu negeri pula berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negeri-negeri tersebut.

Iklan

"Urusetia Lembaga Pengampunan juga ingin memaklumkan bahawa kertas rayuan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini. Sebaliknya, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, beliau pada September tahun lalu telah memfailkan permohonan pengampunan diraja setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng dana tersebut.

Pada 31 Mac lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal dalam permohonannya untuk menyemak sabitan dan hukuman tersebut.