PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman masih membuka pintu kepada pihak yang berminat untuk membeli kesemua saham kelab The Red Warriors (TRW).
Beliau yang juga dikenali sebagai Zamsaham meminta pihak berkenaan untuk tampil dengan 'proof of funds' bukan sekadar sembang kosong semata-mata.
"Dalam catatan, saya masih kekal terbuka untuk mana-mana individu yg mampu galas tugas sebagai owner untuk beli TRW ini daripada saya.
"Setakat hari ini (Isnin) tiada seorang pun hadir. Silakan, marilah runding.
"Silakan hadir dan email ke zamsaham@gmail.com dengan proof of funds. Tak mahu sembang sahaja. Saya masih terbuka,” tulis beliau menerusi Facebook pada Isnin.
Beliau mengulas persoalan beberapa pihak yang masih meragui kejujurannya untuk mengendalikan TRW.
"Cepat munculkan diri. Saya nak bayar gaji lagi. Kalau saya untung, marilah jadi owner dan cari untung dengan bisnes bola,” katanya.
Zamsaham sekali lagi menegaskan keikhlasannya membina TRW sama seperti beliau menyelamatkan Kelantan FC tiga tahun lalu.
"Masa itu tiada orang nak selamatkan. Hanya dalam tujuh hari hari saya selesai deal dan bayar deposit beli Kelantan pada 3 September 2020.
"Hari ini saya nak tengok. Ada tak yang berkenan. Dari Liga Premier saya sudah bawak naik ke Liga Super secara merit.
"Anda minta. Marilah, jangan cakap sahaja. Saya terbuka dengan tawaran," ujar Zamsaham.