JOHOR BAHRU - Rata-rata penjaga serta sukarelawan tanah perkuburan Islam di bandaraya ini sedia memberikan kerja sama kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan polis bagi menyiasat insiden kehilangan batu nisan sebagai mana yang berlaku di Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa, Pandan di sini, baru-baru ini.
Malah mereka turut mengesyorkan beberapa langkah yang wajar dilaksanakan dalam usaha memastikan masalah berkenaan tidak berulang pada masa hadapan.
Menurut Ketua Kerja Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Danga, Shiransah Yusoff atau lebih dikenali sebagai Wak Ran, 59, kejadian curi batu nisan ini telah lama berlaku, cuma ia tidak berleluasa seperti kali ini yang menyaksikan 11 kubur 'hilang' batu nisan.
Justeru katanya, jumlah kehilangan batu nisan yang agak besar itu membuktikan masalah berkenaan semakin kritikal dan perlu dibanteras.
"Memanglah kejadian hilang atau curi batu nisan ni dah lama berlaku... tapi taklah kritikal sampai 11 kubur hilang batu nisan macam kat Taman Istimewa tu.
"Oleh itu, kami sedia bekerjasama dengan pihak JAINJ dan polis bagi menyiasat perkara ini.
"Cumanya, kami terkilan apabila dituduh sebagai pihak yang mengambil batu nisan berkenaan... harap pihak waris dapat berikan perhatian tentang perkara ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam masa sama, pembantu Shiransah Hafiz Zulkifli, 31 mengesyorkan agar pihak polis dapat membuat pemantauan lebih kerap di tanah-tanah kubur di sekitar bandaraya dan mungkin juga di seluruh negeri bagi mengelakkan 'kehilangan' batu nisan ini tak berlaku lagi.
Malah katanya, mungkin seorang anggota polis boleh ditempatkan di tanah-tanah perkuburan seperti yang dilakukan di masjid-masjid.
"Pada kebiasaannya, setiap masjid ada seorang pegawai polis yang jaga, ada buku untuk ditandatangani.
"Jadi, saya cadangkan agar perkara sama dibuat di tanah-tanah perkuburan... sekali gus, akan wujud hubungan kerja sama antara pihak kubur dan polis," katanya
Sementara itu, sukarelawan tanah perkuburan Islam Taman Mount Austin, Zainuddin Mohd Johan, 53 berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan JAINJ dan polis dalam usaha menjaga tanah perkuburan berkenaan.
Sekali gus katanya, kerjasama itu diharap dapat membantu membanteras perkara (hilang batu nisan) memastikan tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
"Alhamdulillah setakat ni masih terkawal dan mudah-mudahan tak berlakulah perkara macam ini... mintak dijauhkan.
"Kita juga akan bekerjasama dengan JAINJ dan polis.. lagi pun, kawasan ini terjaga 24 jam, akan sentiasa ada 'orang' di sini," katanya.