BEIJING - Tidak ada sesiapa yang seharusnya mengenakan satu sistem nilai tunggal terhadap dunia, sebaliknya orang itu perlu berusaha untuk memahami nilai-nilai kehidupan dan perbezaan kebudayaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.
Berucap dalam sidang kemuncak meja bulat di hari terakhir Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa di Tasik Yangi hari ini beliau berkata, toleransi terhadap nilai dan perbezaan kebudayaan perlu ada, kerana tanpanya ia boleh membawa keburukan.
"Kita juga perlu bertoleransi terhadap nilai dan kebudayaan yang berbeza, kita tidak seharusnya mengenakan satu sistem nilai tunggal terhadap dunia kerana banyak negara yang belum bersedia untuknya.
"Perlu ada usaha untuk menjelaskan perbezaan nilai dan budaya. Negara-negara Asia perlu dibenarkan memelihara nilai-nilainya kerana ia akan mewujudkan persefahaman yang lebih baik. Apabila ada nilai-nilai tertentu dikenakan, ia hanya akan merosakkan, dan cenderung kepada keganasan,” katanya.
Sidang Kemuncak meja bulat yang dihadiri 37 pemimpin dunia di kawasan tasik indah, kira-kira 60km utara ibukota Beijing itu dirasmikan oleh President Xi Jinping.
Presiden Xi dalam ucapan perasmiannya antara lain menggesa pelaksanaan projek-projek Jalur dan laluan yang berorientasikan keputusan, untuk dikongsi manfaat bersama dengan negara-negara yang terlibat.
Dr Mahathir dalam ucapannya semasa sidang kemuncak meja bulat itu juga berkata initiatif Jalur dan Laluan itu bukan sahaja akan memupuk pembangunan di kalangan negara-negara yang mengambil bahagian, tetapi juga mewujudkan persefahaman.
"Hanya menerusi persefahaman sahaja kita boleh menuai manfaat dunia yang saling berhubungan,” katanya dan menambah bahawa Malaysia secara langsung terbabit dangan dasar-dasar infrastruktur, yang pertama kali dicetuskan oleh Presiden Xi kira-kira enam tahun lepas.
Menurutnya Malaysia percaya initiatif Jalur dan Laluan itu akan menyumbang kepada keamanan dunia, dan merapatkan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin.
Jalur dan Laluan adalah initiatif bagi mewujudkan rangkaian jaringan perdagangan antara Timur dan Barat menerusi pembangunan lapangan terbang, pelabuhan, laluan keretapi, laluan paip dan sebagainya.- Bernama