Park Jin lawat Malaysia bincang kerjasama pelbagai bidang

Iklan
Park Jin

SHAH ALAM - Lawatan kerja Menteri Luar Korea, Park Jin ke Malaysia yang dijadualkan pada Isnin dijangka membincangkan usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara serta kerjasama dalam pelbagai bidang.

Iklan
Iklan

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, antara agenda utama yang akan dibincangkan termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, tenaga hijau, kebudayaan, pertahanan serta pendidikan.

"Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan menjadi hos lawatan kerja oleh rakan sejawatnya dari Korea, Park Jin pada 1 hingga 2 Mei 2023.

Iklan

"Kedua-dua menteri akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

"Jin juga dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Iklan

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, lawatan Jin ke Malaysia adalah kali pertama sejak beliau dilantik sebagai Menteri Luar Korea pada Mei 2022.

Lawatan tersebut bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur oleh Malaysia dan Korea pada tahun ini.

"Lawatan ini akan menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk menaik taraf hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi, berlandaskan prinsip kepentingan bersama, saling percaya dan kesalinghubungan sesama rakyat," jelasnya.

Pada tahun 2022, Korea merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM114.21 bilion (ASD25.94 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 29.3 peratus daripada nilai yang dicatat pada 2021.

Republik itu juga merupakan pelabur asing ketujuh terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk projek yang dilaksanakan dengan nilai berjumlah RM33.0 bilion (ASD9.25 bilion).