RAUB - Kerajaan negeri amat menitikberatkan perkembangan dan kemajuan negeri termasuk eko pelancongan yang berkaitan alam sekitar sepertimana titah Yang Dipertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, 57 peratus atau kira kira 2.057 juta hektar daripada keluasan negeri Pahang masih berhutan.
Menurutnya, baginda Al Sultan dalam titah diraja sentiasa mengingatkan sensitiviti dalam mendahulukan aspek ekologi atau alam sekitar.
"Apatah lagi Pahang mempunyai kawasan tanah tinggi yang menjadi tumpuan pelancongan seperti Bukit Fraser, Cameron Highlands dan Genting Highlands.
"Oleh kerana itulah kerajaan Pahang sentiasa menjunjung titah dalam pentadbiran negeri untuk sentiasa waspada agar alam sekitar yang dijaga di bumi Pahang ini akan terus terpelihara.
"Dalam hal ini, Bukit Fraser umpamanya menjadi tumpuan para pencinta alam dan destinasi percutian pilihan bagi pasangan yang mahu menghirup udara segar dan menikmati ketenangan di tanah tinggi ini," katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Perayaan 100 Tahun Bukit Fraser, di sini, hari ini.
Hadir sama mencemar duli adalah Al Sultan Abdullah bersama isteri, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Kerabat-Kerabat Bergelar.
Selain itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan isteri, Masdiana Muhamad; Yang Dipertua Dewan Negeri, Datuk Seri Ishak Muhamad; Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak dan Datin Seri Kamariah Mohamad.
Turut hadir, Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin dan isteri, Datuk Mustakuzah Sulaiman serta Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri.
Wan Rosdy berkata, Bukit Fraser yang mendapat jolokan Little England dinamakan sempena nama seorang pengembara Scotland yang bernama Louis James Fraser.
Menurutnya, berdasarkan penulisan Bekas Pesuruhjaya Tinggi British, Fraser merupakan seorang akauntan yang datang ke Pekan Tras ketika perlombongan bijih timah berkembang pesat sekitar 1890-an.
"Dari sekadar lokasi perlombongan, Bukit Fraser berkembang sebagai pusat pelancongan dengan statistik kedatangan pelancong bagi tempoh lima tahun sejak 2014 hingga 2018, adalah 609,505.
"Daripada 103,694 orang yang melancong ke Bukit Fraser tahun lepas, sebanyak 3,724 orang adalah dari luar negara, iaitu 1,919 Singapura; 942 Jepun; 438 United Kingdom dan 246 dari India serta 179, China.
"Sungguhpun trend turun naik ini, saya yakin dengan adanya pelbagai perancangan khususnya Sambutan Perayaan 100 Tahun Bukit Fraser ini, graf kedatangan pelancong akan meningkat selepas ini.
"Antara tarikan terunggul di sini adalah Padang Golf Bukit Fraser yang merupakan padang golf tertua di Malaysia," katanya.
Majlis gilang gemilang itu dianjurkan Tourism Pahang dengan kerjasama Tourism Malaysia akan disusuli pelbagai aktiviti menarik sepanjang tahun 2019 sempena meraikan 100 tahun pembukaan lokasi itu.
Turut diadakan sempena perayaan tersebut adalah acara 100 Pendaki 100 Tahun Bukit Fraser anjuran Kelab Media Pahang yang melibatkan peserta kalangan agensi kerajaan, NGO dan Pengamal Media.
Terdahulu ketibaan baginda berdua dan Tengku Hassanal disambut lebih 1,000 rakyat jelata kira kira jam 9 malam di Menara Jam Bukit Fraser.